Labuan, 15 Jun 2026 – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan melalui Unit Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran telah menganjurkan Bengkel Kerja Kemahiran Manipulatif Pengendalian Alat Radas Makmal Sains Sekolah Menengah di Bawah RMK12 yang melibatkan seramai 75 orang peserta terdiri daripada guru-guru Biologi, Fizik dan Kimia serta pembantu makmal seluruh Wilayah Persekutuan Labuan di SMK Rancha-Rancha, Labuan.
Bengkel ini bertujuan meningkatkan kompetensi guru dalam pengendalian peralatan dan radas makmal sains baharu yang dibekalkan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), sekali gus memastikan penggunaan peralatan tersebut dapat dioptimumkan dalam pelaksanaan amali sains di sekolah.
Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, En. Yahya bin Ahmad Puteh. Turut sama hadir ialah syarikat penaja Tuan Haji Rozmi bin Rahim, COO Supreme Didactic Sdn. Bhd. dan Encik Mohd Ramli Mahmud, Pengarah Suria Pembekal Umum Sdn. Bhd.
Bengkel ini menampilkan perkongsian kepakaran oleh Dr. Nur Izwani binti Mohd Shapri (Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI), Dr. Mohamad Syahrizal bin Ahmad (Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI) serta Encik Ariff Mazuan Zulkifli yang memberikan bimbingan berkaitan penggunaan dan pengendalian radas makmal sains secara berkesan dan selamat.
Pelaksanaan bengkel ini diharap dapat memperkukuh kemahiran manipulatif guru, meningkatkan kualiti amali sains di sekolah serta menyokong usaha melahirkan murid yang memiliki kemahiran saintifik, pemikiran kritis dan literasi sains yang tinggi selaras dengan aspirasi pendidikan STEM negara.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Supreme Didactic Sdn. Bhd. dan Suria Pembekal Umum Sdn. Bhd. atas kerjasama dan sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.
#JPWPLabuan
#SektorPembelajaran
#UnitSainsDanMatematik
#STEMLabuan
#RMK12
#PendidikanSains











![]()

