Imbau Nostalgia Government English School (GES) yang kini dikenali sebagai SMK Labuan

Bekas murid GES berkesempatan merasai semula duduk di dalam kelas mereka zaman 1950an dan 1960an

26 September, Labuan – Seramai lima orang bekas murid Government English School (GES) sekitar tahun 1950-an dan 1960-an telah melawat SMK Labuan pada 21 September bagi mengimbau kembali nostalgia zaman persekolahan dan melihat sendiri perkembangan sekolah mereka sejak 60 tahun lalu.

SMK Labuan dahulunya dikenali sebagai Government English School (GES) sebelum bertukar nama pada tahun 1970.

Ahli rombongan yang melawat :
1. Encik Han Siew Kwong (menetap di Labuan), bersekolah di GES 1955-1960
2. Encik Joseph Chong (menetap di Sidney B.C Canada), bersekolah di GES 1955-1962
3. Encik Jeffrey Wright (menetap di Port Lincoln, South Australia), bersekolah di GES 1958-1959
4. Encik Ibrahim Datuk Hj Fadzil (menetap di Labuan), bersekolah di GES 1963-1967
5. Encik David Teo (menetap di Kota Kinabalu), bersekolah di GES 1965-1967

Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah berkesempatan membawa rombongan melawat sekitar sekolah yang telah mengalami banyak perubahan sejak sekolah tersebut ditubuhkan.

Mereka dibawa melawat ke bangunan-bangunan asal GES yang masih ada dan kelas-kelas tempat mereka belajar dahulu termasuk bangunan-bangunan baru yang dibina secara berperingkat-peringkat hingga sekarang.

Ahli rombongan dibawa melawat ke kelas-kelas lama zaman GES

Pada sesi lawatan tersebut juga, Majlis menandatangani dokumen Surat Hasrat (Letter of Intent) antara pihak sekolah dan bekas pelajar GES 1950an dan 1960an telah dibuat dan kandungan dokumen tersebut ialah :

Kumpulan Bekas Pelajar GES 1950an dan 1960an akan memberi sumbangan dalam bentuk idea, kemahiran, motivasi atau apa saja bentuk sumbangan yang ingin diberikan untuk faedah SMK Labuan.

Encik Ismail menandatangani bagi pihak SMK Labuan, dan En Han Siew Kwong menandatangani bagi pihak Kumpulan Bekas Pelajar GES. Turut hadir ialah Encik Ag Rozlan bin Manan (PK Pentadbiran) dan Encik Cheah Teong Aik (PK Kokurikulum).

Majlis menandatangani Surat Hasrat. Dari kiri Ibrahim Datuk Hj Fadzil, David Teo, Joseph Chong, Ismail Abdullah, Han Siew Kwong, Jeffrey Wright, Cheah Teong Aik dan Ag Rozlan Manan.

Surat Hasrat ini akan membawa kepada perancangan kedua-dua pihak untuk memulakan aktiviti seperti ceramah motivasi dan perkongsian pengalaman serta kepakaran ahli-ahli Kumpulan Bekas Pelajar GES kepada murid-murid SMK Labuan tidak lama lagi.

Pihak sekolah berharap perhubungan ini akan memberi impak dan faedah kepada SMK Labuan untuk jangka panjang kerana bekas-bekas pelajar yang telah lebih separuh abad meninggalkan sekolah masih mempunyai hasrat dan keinginan untuk membantu sekolah dalam pelbagai perkara.

Pihak sekolah juga akan mewujudkan perhubungan dengan kumpulan bekas-bekas pelajar SMK Labuan 1970an hingga era 2000 dengan harapan agar perhubungan tersebut nanti akan memberi faedah kepada sekolah dan juga kepada masyarakat WP Labuan secara keseluruhannya.

Sumber Berita : SMK Labuan

 

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.