Program 1 SRN 1 Komuniti 1 Kasih Sayang Kolej Matrikulasi Labuan Bersama SK Sungai Lada

30 September 2017 / Labuan – Sekretariat Rukun Negara Kolej Matrikulasi Labuan (KML) telah menganjurkan Program 1 SRN 1 Komuniti 1 Kasih Sayang Kolej Matrikulasi Labuan Bersama SK Sungai Lada. Program tersebut merupakan program serentak dilaksanakan di seluruh negara.

Program yang melibatkan aktiviti pengambilan anak angkat, aktiviti LDK, ceramah keibubapaan dan gotong royong ini telah dirasmikan oleh Pegawai Angkat Perhubungan Sekolah, Tuan Hj Yunus bin Yusoff. Semasa ucapan perasmian, beliau menyatakan bahawa usaha merupakan kunci kepada kejayaan kerana cita-cita tanpa usaha hanyalah mimpi semata-mata dan salah satu usaha untuk berjaya adalah dengan banyak bertanya dan menelaah. Menurut beliau lagi, program anak angkat ini merupakan satu usaha pihak KML yang sangat efektif dalam membantu murid-murid sekolah rendah meningkatkan kecemerlangan akademik mereka.

24 orang murid SK Sungai Lada terdiri daripada murid tahun 5 yang bakal menduduki peperiksaan UPSR pada tahun 2018 dijadikan adik angkat kepada 48 orang pelajar KML. Setiap dua orang pelajar KML mengambil seorang murid SK Sungai Lada menjadi adik angkat mereka dan pelajar KML tersebut secara langsung menjadi anak angkat kepada keluarga murid berkenaan.

Menurut Guru Besar Sk Sungai Lada, Puan Anita Shyamini A/P S. Azman, program ini dapat memberikan manfaat yang baik kepada semua pihak. Pelajar KML akan dapat membimbing murid-murid SK Sungai Lada dalam mata pelajaran yang susah seperti Bahasa Inggeris dan matematik kerana pelajar-pelajar KML yang dipilih merupakan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik. Manakala, pelajar-pelajar KML berkenaan juga mendapat keluarga baharu di Labuan kerana kebanyakan mereka merupakan pelajar yang berasal dari Sabah mahupun Sarawak. Beliau juga menekankan agar murid Sk Sungai Lada dan pelajar KML menyematkan nilai dalam diri bahawa yang tua dihormati dan yang muda disayangi agar dapat memupuk kerjasama dan kasih sayang dalam kalangan pelajar KML, murid-murid SK Sungai Lada, ibu bapa dan masyarakat.

Ceramah keibubapaan turut diberikan oleh Penyelaras Program, Encik Zamri Bin Palin. Menurut beliau, objektif program ini dijalankan adalah bagi membantu sekolah-sekolah di Labuan untuk mencapai kecemerlangan dengan bantuan pelajar-pelajar KML. Oleh itu, kerjasama merupakan asas kepada kejayaan program ini iaitu kerjasama di antara pihak KML dengan sekolah serta kerjasama di antara ibu bapa dan pelajar-pelajar KML. Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa kemenjadian ibu bapa akan membentuk anak-anak yang berjaya. Bagi meraih kemenjadian ini, ibu bapa perlu berkorban masa dan tanggungjawab mereka. Ibu bapa yang cemerlang akan dapat menghasilkan anak-anak yang berjaya.

Sumber berita : Dayang Siti Hasanah

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.