500 guru hadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2017

21 Jan 2017 – Hampir 500 warga guru telah menghadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2017 , Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan di dewan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS).

Pengarah Jabatan Pendidikan W.P Labuan, Encik Raisin Saidin menyampaikan amanat dan perutusan Tahun Baharu 2017 serta sedutan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan ucapan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

Sambil mengucapkan terima kasih atas kehadiran tetamu termasuk pesara guru, Encik Raisin Saidin meminta semua pihak khususnya ibu bapa dan komuniti sentiasa berkerjasama dan berganding bahu dengan pihak jabatan dan sekolah untuk mencemerlangkan pendidikan anak-anak di sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya komitmen semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan serta swasta dan pemimpin masyarakat dalam memastikan kecemerlangan pendidikan di Labuan amat diperlukan kerana kejayaan anak-anak merupakan milik semua warga Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau juga berharap ibu bapa akan terus memainkan peranan utama mereka menerusi PIBG membantu pihak sekolah menjayakan pelbagai program khususnya yang berkaitan dengan akademik.

Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Yunus Kurus, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Maimoon Matnoh selaku pengerusi pengelola dan Pengerusi Dewan Usahawan Melayu Labuan ( DUML ) Dato’ Sri Mohd Alias Abd Rahman.

Majlis yang bermula jam 8 pagi itu dimeriahkan dengan persembahan koir lagu-lagu patriotik yang disampaikan oleh SMK Labuan dan bacaan lafaz ikrar Perkhidmatan Awam dan Rukun Negara yang diketuai oleh Pengetua SMK Rancha-Rancha Omar Baki Matusin.

Turut diadakan penyampaian Anugerah Tokoh Teladan Integriti kepada empat penerima yang terdiri daripada pegawai, pengetua dan ibu bapa cemerlang.

  

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.