Didik Murid Untuk Kesejahteraan Kelak

Encik Raisin Saidin menyampaikan tablet kepada Encik Aznan sambil diperhatikan oleh Encik Adam dan Puan Noremelia (kiri)

Labuan, 26 Okt :

Guru hendaklah mengajar dan mendidik anak-anak murid supaya mereka boleh hidup sejahtera dan sempurna pada zaman mereka kelak.

Demikian ucapan amanat Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin di Majlis agihan Tablet berserta aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia hari ini bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Bebuloh.

Teknologi ICT merupakan suatu keperluan dalam zaman ini, murid bertambah seronok dan bersemangat jika guru bijak memanfaatkan ICT dalam pengajaran di bilik darjah.

Oleh itu, kemudahan tablet yang diberikan kepada  guru amat bertepatan bagi membantu guru merancakkan lagi pembelajaran abad ke 21, khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan ini.

Encik Raisin Saidin juga berkata, roh guru perlu ada di setiap orang guru, sentiasa bersungguh-sungguh dalam mengajar anak murid bagi menimbulkan suasana keseronokan belajar di kalangan murid.

“Guru harus bersedia dan selesa mengajar tetapi dalam masa yang sama guru perlu mempersiapkan diri agar murid juga bersedia dan selesa untuk belajar. Barulah pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan seronok dan berkesan”, katanya.

Kementerian Pendidikan Malaysia komited untuk mengubah pendidikan negara serta meningkatkan pencapaian murid. Matlamatnya akhirnya melahirkan murid yang berfikiran kreatif dan kritis dalam sebarang bidang yang diceburi.

Sebanyak 30 orang guru SK Bebuloh menerima tablet yang telah disampaikan sendiri oleh Encik Raisin dan merupakan sekolah yang ke 19 di Labuan menerima agihan peralatan bantu mengajar ini.

Terdahulu, Encik Raisin Saidin mengucapkan tahniah kepada Guru Besar dan Penolong Kanan Pentadbiran sekolah yang baharu sahaja dilantik iaitu Encik Adam Abd Rahim (Guru Besar) dan Encik Aznan Abidin (Penolong Kanan Pentadbiran).

Beliau berharap agar kedua-dua pentadbir ini dapat berkerjasama dalam menaikkan lagi prestasi dan pencapaian SK Bebuloh.

Turut hadir pada majlis tersebut Puan Noremelia Mohamad Nor, Pengurus Perhubungan Kakitangan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Encik Adam Abd Rahim, Guru Besar SK Bebuloh, Ketua-ketua Sektor dan Pegawai Jabatan Pendidikan WP Labuan.

Guru-guru SK Bebuloh gembira menerima kemudahan tablet bagi tujuan PdP

 

image_pdfimage_print