Majlis Graduasi Pra Universiti SMK Labuan Sesi 2017

Pelajar Pra U SMK Labuan merakam gambar kenangan bersama Encik Raisin, Encik Ismail, Encik Hanudin, Encik Hussein dan Encik Saminan

LABUAN, 29 Okt – Seramai 123 pelajar Pra Universiti SMK Labuan telah menerima sijil pada Majlis Graduasi Sesi 2017 yang diadakan di Hotel Lazenda, malam Rabu lalu.

Majlis penyampaian sijil tersebut disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Raisin Saidin.

Anugerah Terbaik Keseluruhan diraih Nurfaradiana Khamis (PNGK 3.46, 6AF) dan Neily Nurqasrina Sazali (PNGK 3.46, 6AG).

Bagi Anugerah Terbaik Aliran Sains diterima Billy Tan Cheah Ming (PNGK 2.55, 6AD) manakala Nurfaradiana Khamis (PNGK 3.46, 6AF) dan Neily Nurqasrina Sazali (PNGK 3.46, 6AG) menerima Anugerah Terbaik Aliran Kemanusiaan.

Anugerah Kokurikulum 2017 disandang Yazid Zahiruddin Faiz Mu’izzuddin dan Suzliana Suali selepas cemerlang dalam bidang tersebut.

Sembilan orang pelajar pula menerima Anugerah Kecemerlangan selepas memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif 3 Pointer dan Ke Atas.

Encik Raisin Saidin (3 kanan) dan Encik Ismail (4 kiri) bersama pelajar Pra U SMK Labuan yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum

Mereka ialah Norfarahdiana Khamis (PNGK 3.46) (Kelas 6AF), Neily Nurqasrina Sazali (PNGK 3.46) (Kelas 6AG), Liyana Abdul Rahman (PNGK 3.29) (Kelas 6AG), Marlissa Umos (PNGK 3.29) (Kelas 6AB), Nurdiana (PNGK 3.26) (Kelas 6AB), Clarice Urun @ Saimon (PNGK 3.21) (6AB), Mohd Rasmad Musim (PNGK 3.21) (6AF), Atilla Atasha Hanafi (PNGK 3.13) (6AE) dan Nazrul Naeem Asmawi (PNGK 3.13) (6AF).

Encik Raisin turut menyampaikan sijil kepada 14 Ahli Majlis Perwakilan Pelajar bagi Sesi 2016/2017.

Dalam ucapannya, Encik Raisin menyeru pelajar Pra Universiti agar mengekalkan kejayaan yang diperolehi semasa di SMK Labuan untuk menempuh lebih banyak cabaran di menara gading dan alam pekerjaan kelak.

Katanya, kecemerlangan di peringkat sekolah akan lebih bermakna sekiranya mereka mampu mengekalkannya di universiti sebelum mengaplikasikan ilmu tersebut di bidang pekerjaan.

“Banyak lagi cabaran yang perlu pelajar hadapi di peringkat universiti dan alam pekerjaan kelak. Justeru itu, mereka harus mengekalkan kecemerlangan kerana persaingan amat sengit pada masa akan datang,”katanya.

Sementara itu, Encik Ismail merakamkan ucapan penghargaan kepada pensyarah yang gigih mendidik pelajar Pra Universiti sehingga mereka mampu melanjutkan pengajian tinggi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan IPT Swasta sama ada di dalam mahupun luar negara.

Oleh itu, beliau mahu pelajar Pra U tidak mensia-siakan peluang belajar di peringkat tersebut agar mereka juga mampu menuruti jejak langkah pelajar SMK Labuan sebelum ini yang berjaya memasuki IPT dan memperolehi kerjaya yang mereka harapkan.

“Kalau mereka berusaha lebih gigih, saya yakin dan percaya mereka akan mampu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan cemerlang dalam bidang pekerjaan kelak,”katanya.

Encik Ismail tidak lupa mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pelajar Pra U yang akan menamatkan pengajian mereka di SMK Labuan.

Sementara itu, Encik Ismail dan Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Hanudin Amin turut  menandatangani Surat Hasrat sambil disaksikan Encik Raisin, Haji Hussein Salleh selaku Naib Yang Dipertua PIBG  dan Penolong Kanan Pra U, Encik Saminan Sabtu.

Majlis itu yang bermula pukul 7.30 malam dimeriahkan lagi dengan persembahan puisi “Adalah” oleh Siti Nurul Hidayah Abdul Hamid (6 RD) serta nyanyian medley Aina dengan diiringi alunan dan petikan gitar oleh Tyren dan Aizat.

Turut hadir Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Ag Rozlan Manan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Zalina Zunkepely dan 37 pensyarah Pra Universiti SMK Labuan.

Pensyarah Pra U SMK Labuan merakam kenangan bersama Encik Raisin Saidin (duduk tengah), Ismail ( 4 kiri)

Sumber Berita : SMK Labuan

 

image_pdfimage_print