Bingkisan Karnival SMathen 2017, SELAMAT PAGI MALAYSIA TV1

Pertandingan GMath bertempat di SK St Anne

Labuan : Seramai 299 peserta terdiri dari pelajar sekolah rendah dan menengah membabitkan 32 sekolah daripada 4 buah negara iaitu Indonesia, Filipina, Vietnam dan Malaysia menyertai Pertandingan SMathEn Antarabangsa 2017.

Karnival ini  berlangsung selama empat hari bermula 25hb hingga 28hb Oktober bertempat di SK St Anne, Dewan JKR Labuan dan sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelajar yang ditemui merasa seronok dan teruja menyertai acara yang dipertandingkan selain mendapat pengalaman dan mengenali rakan baharu.

SK St Anne, Sekolah Kluster Kecemerlangan muncul juara keseluruhan setelah berjaya meraih empat (4) emas melalui Sumo Robotik, GMath individu dan berkumpulan serta Labuan English Amazing Race.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Datuk Rozman bin Datuk Haji Isli, Ahli Parlimen P166 Labuan pada majlis makan malam SmathEn 2017 pada 28hb Oktober.

Datuk Rozman berkata, generasi muda perlu dididik dengan pelbagai aspek kemahiran menerusi kurikulum baharu sesuai dengan cabaran abad ke 21.

Beliau juga berharap dengan peningkatan ilmu dan kebolehan pelajar dapat melahirkan bakal pemimpin minda kelas pertama dan mampu bersaing di peringkat global.

YB Rozman merasmikan karnival SMathen Antarabangsa 2017 diperhatikan oleh Encik Raisin dan Puan Shim (Ehsan RTM)

Pada majlis ini turut diadakan majlis menandatangani memorandum kerjasama antara Guru Besar ke empat-empat negara serta dimeriahkan lagi persembahan kebudayaan dan nyanyian murid sekolah.

Sementara itu, Guru Besar SK St Anne, Puan Shim Cheng Teo mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan berasa gembira dengan kejayaan penganjuran karnival ini lebih-lebih lagi berjaya menarik penyertaan dari  negara luar.

Walaupun sekolah ini kecil, tetapi mempunyai nafsu yang besar dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang melibatkan murid, demi melihat kejayaan mereka di masa hadapan, katanya lagi.

Penganjuran karnival SMathen ini adalah anjuran SK St Anne bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Turut hadir Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Zainal Madasin.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada SK St Anne, Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Kejayaan ini juga mendapat liputan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui program SELAMAT PAGI MALAYSIA di TV1. Pautan boleh ditonton melalui URL : https://youtu.be/ahWIa4Hstms

Pertandingan Labuan English Amazing Race

 

Peralatan Robotik yang digunakan dalam Pertandingan Sumo Robotik

 

image_pdfimage_print