Amni Naeelah Ahmad Saifuddin dan Nur Izziani Mohd Idzam Johan Pertandingan Bercerita 2017

Encik Subari (belakang, tiga kanan), Puan Murni (tiga kiri ) dan adik Nur Izziani (depan, tengah) , Johan Pertandingan Bercerita Tahap 2 bersama Pemenang lain

LABUAN: Murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (SKRR) Amni Naeelah Ahmad Saifuddin dan murid Tahun Lima SK Pantai Nur Izziani Mohd Idzam muncul johan Pertandingan Bercerita 2017 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Amni Naeelah yang menyampaikan cerita bertajuk Suria Yang Insaf muncul johan Tahap 1 menewaskan 12 peserta lain.

Naib johan disandang murid SK Pantai Balqis Insyirah Abd Liyusli dan ketiga Muhammad Iman Muallim Mohd Ilyas dari SK Membedai.

Tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing dimenangi Nurfatin Erdanie Mohd Rezal (SK Tanjung Aru), Syazrayllyn Sulie (SKK SK St Anne) dan Felenda Claudia Feridlee (SJKC Chi Wen).

Manakala Nur Izziani yang menyampaikan cerita bertajuk Bawang Putih Bawang Merah menewaskan 14 peserta lain bagi kategori Tahap 2.

Naib johan Hana Maisarah Roslan yang mewakili SK Rancha-Rancha dan ketiga murid SJKC Chung Hwa, Alyaa Nourelle.

Tempat keempat dimenangi Nur Atahsia John Charlie dari SK Pekan Dua, kelima Nurkhalilah Dania Sahat (SK Tanjung Aru) dan keenam murid SK Lubok Temiang, Shafiyyah Shopian.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Labuan Subari Dwar dan Guru Besar SK Tanjung Aru Murni Jaafar.

Encik Subari menyampaikan hadiah kepada adik Amni Naeelah

Dalam ucapannya, Subari berharap menerusi pertandingan seperti itu, bakat terpendam murid akan dapat dicungkil sekaligus melahirkan insan yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Katanya, kebolehan murid berbicara dan menjawab soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) adalah antara objektif penganjuran pertandingan bercerita sekolah rendah diadakan.

“Inilah masanya untuk guru dan ibu bapa melihat kebijaksanaan murid mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran serta latihan kokurikulum selama ini di sekolah,” katanya.

Sementara, Murni berkata ramai murid yang mempunyai bakat dan potensi untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang.

Justeru, beliau yakin menerusi bimbingan berterusan guru-guru dan sokongan ibu bapa, murid terbabit mampu memperolehi kejayaan yang lebih membanggakan di peringkat yang lebih tinggi.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua guru SK Tanjung Aru yang komited yang menjayakan Pertandingan Bercerita pada kali ini. Nampaknya kita mampu melahirkan lebih ramai murid berkebolehan jika diberikan bimbingan berterusan,” katanya.

Turut hadir, Penolong-penolong Kanan SK Tanjung Aru, Hajah Aini Salleh (Pentadbiran) dan Normah Rahimi (Hal Ehwal Murid) serta Penyelaras Program Bustamih Haji Ungki.

Pertandingan Bercerita 2017 diadakan di SK Tanjung Aru selaku penganjur bersama Jabatan Pendidikan Labuan pada Sabtu.

Encik Subari (belakang, empat kanan), Puan Murni (tiga kiri ) dan adik Amni Naeelah (depan, tiga kiri), Johan Pertandingan Bercerita Tahap 1 bersama Pemenang lain

Sumber Berita : Utusan Borneo, 8 November 2017

image_pdfimage_print