Majlis Anugerah Kecemerlangan SM St Anthony Lantik Bapa Angkat Korporat

Puan Maimoon (tengah bertudung) bersama penerima anugerah

LABUAN : Sekolah Menengah St. Anthony W.P.Labuan telah mengadakan  Majlis Anugerah Kecemerlangan 2017 kali ke-19 pada 3 November 2017 di Dewan Serbaguna Blessed Sacrament W.P.Labuan. Majlis ini telah dirasmikan oleh  Dato’ Hj. Harris bin Hj. Annuar Tan selaku Bapa Angkat Korporat SAS. Dalam ucapan perasmian sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan SM St. Anthony, Dato’ menyeru agar para pelajar menghargai kemudahan sekolah yang telah disediakan. Beliau juga menegaskan para pelajar agar tidak mengejar “ Straight A “ semata-mata tetapi mengasah bakat dan potensi yang ada melalui kegiatan kokurikulum seperti mengikuti Persatuan Pengakap, Kelab Interact dan sebagainya . Dalam era globalisasi abad ke-21 aspek potensi, bakat, ketrampilan diri, kepimpinan dan kemahiran berkominikasi dalam dwi bahasa ( Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ) amat diutamakan, terutamanya dalam sektor swasta.

Dato’ Hj. Harris turut merakamkan ucapan terima kasih di atas pemilihan beliau sebagai Bapa Angkat Korporat sekolah. Beliau menerima tanggungjawab ini dengan sedaya upaya dan akan memberikan bantuan dalam mencari dana  bagi projek pembangunan sekolah seperti kemudahan Makmal Komputer dan juga penambahan bilik darjah . Pada majlis tersebut, beliau telah menandatangani MOU dengan pihak sekolah secara rasminya dan menjadi Bapa Angkat Korporat SM St. Anthony WP. Labuan.

DATO’ HARRIS menyampaikan ucapan perasmian.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Puan Maimoon Matnoh, beliau menasihatkan para pelajar untuk belajar lebih awal dan bukannya pada waktu-waktu terakhir menjelang hari peperiksaan. Hal ini bagi memastikan pelajar bersedia dan lebih yakin apabila menjawab kertas soalan. Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah di atas pencapaian yang cemerlang sepanjang tahun 2017. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli lembaga sekolah dan persatuan ibu bapa guru di atas komitmen yang diberikan kepada SM St. Anthony. Beliau berharap sokongan seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.

Pengetua SM St. Anthony, Puan Dona Undoh dalam ucapan beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kesudian Dato’ Hj. Harris Hj. Annuar Tan CEO ASB untuk menjadi Bapa Angkat Korporat SAS. Dato’ juga merupakan bekas pelajar SAS yang semestinya menjadi ikon dan contoh kepada murid-murid SAS untuk mencapai kejayaan yang  cemerlang dalam pelbagai bidang. Dato’ Hj. Harris juga telah menaja semua hadiah kategori kurikulum pada tahun ini. Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada PIBG 2016 kerana telah memberi sumbangan peralatan sekolah seperti menaja hadiah untuk Merentas Desa Peringkat Sekolah dan menganjurkan Charity Dinner untuk mengutip dana bagi membina dewan terbuka sekolah.

Ucapan terima kasih juga diberikan kepada ahli Lembaga Pengurusan Sekolah yang telah banyak membantu dalam pembangunan sekolah. Antara sumbangan mereka ialah mengecat pagar sekolah, menceriakan laluan utama sekolah dan penyelenggaran gutter sekolah. Beliau juga berterima kasih kepada semua guru dan warga sekolah yang sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dan bekerja dengan semangat “Team Work “  yang dedikasi. Begitu juga kepada ibu bapa dan individu –individu yang menghulurkan sumbangan kepada pihak sekolah, seterusnya kepada pihak Jabatan Pendidikan WP Labuan yang sentiasa  memberikan bantuan kepada sekolah .

Pada majlis tersebut, Nur Anis Sofea binti Fathi yang memperoleh 4A, 3A- dan 1B+ telah dipilih menjadi pelajar cemerlang SPM bagi tahun 2016. Pencapaian SM St. Anthony dalam SPM 2016 ialah 82.14 peratus. Terdapat 3 matapelajaran yang mencatatkan keputusan 100% lulus iaitu Kesusasteraan Melayu, Pendidikan Seni Visual dan Fizik. Manakala, mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik Tambahan, Prinsip Akaun, Ekonomi Asas, Kimia, Biologi, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Perdagangan mencatatkan peningkatan peratus lulus dan GPMP.

Bagi anugerah pelajar cemerlang PT3 2016 pula terdapat seramai 10 orang penerima yang mendapat 7A dan 6A.

Puan Dona bersama Puan Maimoon dan penerima anugerah khas.

Selain itu, bidang kokurikulum turut mencatatkan kecemerlangan pada tahun 2017. Pencapaian peringkat antarabangsa ialah dalam Brunei Open & Masters Swimming Championships 2017 oleh adik Bryan Chin Bao Yang . Bryan telah memperolehi pingat emas dalam freestyle relay, pingat perak dalam 100M breaststroke, 50M breaststroke dan 50M freestyle serta pingat gangsa dalam 50M butterfly. Bryan turut dinobatkan sebagai Tokoh Sukan Lelaki.

Manakala Tokoh Sukan Perempuan dinobatkan kepada adik Nazeera Anak Jerah yang telah dianugerahkan sebagai olahragawati P15 MSSWPL, perak lempar cakera P15, emas merejam lembing P15 dan telah memecahkan rekod pada kejohanan sukan MSSWPL yang lalu. Selain itu, pelbagai kejayaan telah diraih  dalam bidang kokurikulum baik di peringkat negeri dan kebangsaan. Antaranya dalam Perkhemahan Kadet Bomba Zon Borneo, Kejohanan Taekwando Jemputan Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan, Kejohanan Tae Kwon Do Remaja Kebangsaan, Pertandingan Video Pendek Sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Kebangsaanfsn  Kanggaroo Maths Peringkat Kebangsaan.

Manakala, dalam bidang hal ehwal murid, sekolah berusaha mencapai kehadiran murid 95 peratus dan ke atas mengikut ketetapan KPI KPM. Pihak sekolah telah menerima sijil penghargaan bagi kehadiran murid 95% dan ke atas bagi bulan Januari, Mac, April, Julai dan September. Seramai 46 orang pelajar telah menerima anugerah kehadiran penuh 100 peratus.

DATO’ HARRIS TAN(tengah) menerima cenderamata daripada Puan Dona sambil diperhatikan oleh Puan Maimoon, Encik Friddy dan Encik Jefry Philimon.

Sebagai menghargai sumbangan yang diberikan kepada pihak-pihak yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan anak-anak di sekolah itu, sekolah telah memberikan penghargaan melalui penyampaian anugerah khas. Antara penerimanya ialah Datuk Francis Tee( Pengerusi Projek Mencari Dana Pembinaan Bangunan Sekolah pada tahun 1991-1998), En. Francis Wong (Pembinaan penyediaan keperluan asas sekolah, pembinaan dewan terbuka dan gelanggang permainan pada tahun 1991), En. Shim Kon Yin(keperluan asas peralatan sekolah dan perkhidmatan pengangkutan semasa pindah ke bangunan baru pada tahun 1997), Dr. Baby Ching Vui Hiong(penglibatan aktif dalam Program HIP sekolah dan sumbangan hadiah kuiz HIP 2017 dan Pengerusi Majlis Makan Malam Amal SAS 2005, 2013 dan 2017), En. Chia Sia Theng(Penajaan 100% kos kejohanan merentas Desa sekolah dan sebahagian kos MAKSAS 2017), En. Antoh b Jagang(sumbangan peralatan elektrik), En. Tan Teck Soo(Perkhidmatan Lukisan Pelan Dewan Terbuka secara percuma kepada sekolah), En. Ten Yok Seng(Menyumbang 5 unit meja bulat kepada sekolah) dan Dr. Shaik Dawood Mohideen(sumbangan tunai untuk MAKSAS 2017).

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Datuk Peter Mak ( Mantan YDP PIBG ), Encik IR Friddy Fu, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Encik Jeffry Philimon, Timbalan Pengerusi PIBG, Dr. Baby Chong Vui Hiong ( Bendahari PIBG ) , Sarjan Jusman Bin Toba ( Wakil Pegawai Perhubungan Polis Sekolah )

Sumber Berita : SM St Anthony

image_pdfimage_print