Majlis Makan Malam Gemilang SEMELA 2017 dan Majlis Jasamu Dikenang

Sambutan hari lahir para guru dan kakitangan yang lahir pada Bulan September, Oktober, November dan Disember.

Labuan : Warga pendidik dan kakitangan sokongan SMK Lajau gembira apabila satu Majlis Makan Malam Gemilang diadakan pada 17 November 2017 yang bertempat di Alfresco, Hotel Tiara, Labuan.

Majlis anjuran Kelab Guru dan Kakitangan (KRAF) SMK Lajau yang bertemakan  “Hawaii Sebiru SEMELA” itu diadakan bagimenghargai dan mengiktiraf kecemerlangan para guru dan staf sokongan sekolah sepanjang tahun 2017. Turut diraikan Majlis Jasamu Dikenang Encik Matnor Bin Daud yang akan berpindah keluar dan bertugas sebagai Penolong Kanan HEM di SM St Anne, Labuan.

Encik Mohd Jamatin Abd Latip, selaku Pengetua SMK Lajau menyempurnakan majlis yang turut dihadiri oleh Barisan Pentadbir SMK Lajau, SIP+ Encik Yusup Mohamad yang merupakan mantan pengetua. Encik Mohd Jamatin dalam ucapannya menyambut baik aktiviti dan program seperti itu kerana dapat memberi penghargaan kepada para guru dan kakitangan sokongan yang saling berganding bahu dalam menyokong semua program dan aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah sepanjang tahun ini.

Penyampaian Sijil Pengharagaan Staff Of The Month oleh Pengetua, En.Mohd Jamatin

Encik Muhd Hisyam Assim, Pengerusi KRAF 2017 dalam ucapannya turut mengucapkan jutaan terima kasih atas kesungguhan guru-guru dan kerjasama daripada kakitangan sokongan sekolah kerana telah bertungkus lumus sepanjang tahun dalam menjayakan beberapa majlis  seperti Sambutan Hari Guru, Majlis Perpisahan Puan Nor Tamah dan Majils Perpisahan Mantan Pengetua Encik Yusup bin Mohamad.

Majlis Makan Malam Gemilang itu seumpama satu perjumpaan mesra yang lebih mengeratkan silaturahim sesama rakan sekerja selepas sibuk bekerja sepanjang tahun. Beliau turut mengharapkan agar AJK KRAF terus bersemangat menyumbang idea dan bersedia menyumbang keringat untuk tahun akan datang.

Majlis ini juga sebagai malam mengimbas kenangan En.Matnor yang telah menabur bakti menyiram keringat sepanjang berkhidmat di SMK Lajau. Seribu satu kenangan yang tercipta diharap menjadi titipan manis di kemudian hari kepada beliau. Hisyam juga membuktikan hubungan baik dan erat sesama rakan guru telah berjaya mengumpulkan hadiah dan sumbangan untuk cabutan bertuah yang dijanjikan akan diperolehi oleh semua guru dan staf sokongan SMK Lajau.

Sejurus itu Encik Matnor bin Daud dijemput bagi menyampaikan ucapan ringkas sebagai tanda perpisahan. Antara petikan kata beliau, SMK Lajau adalah antara sekolah yang mempunyai disiplin yang baik, pencapaian murid yang cemerlang dan rakan-rakan kerja yang sangat membantu dalam tugas-tugas seharian sepanjang beliau bertugas di sekolah ini. Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah daripada KRAF, Koperasi SMK Lajau Bhd dan Bidang HEM sebagai tanda kenangan dan ingatan kepada beliau.

Penyampaian cenderamata kenangan daripada wakil KRAF SMK Lajau,Encik Muhd Hisyam,
kepada Encik Matnor

Aturcara seterusnya  Penyampaian sijil Staff Of The Month dikendalikan oleh AJK KRAF dengan kerjasama Bidang Kemanusiaan, SMK Lajau. Guru-guru dan kakitangan sokongan dinilai melalui beberapa kriteria seperti Kehadiran Bertugas 100%, Penghantaran BRMG, Kecekapan Memberikan Pekhidmatan, Fail & BRLK Kokurikulum Lengkap, Kehadiran Guru dalam Aktiviti HRHK, Pencapaian Tiga Teratas Pasukan Bimbingan dan Inisiatif dan Kreativiti dalam Menjalankan Tugas.

Turut diraikan Sambutan Hari Lahir bagi guru-guru dan staf sokongan yang lahir pada bulan September, Oktober, November dan Disember. Acara kemuncak yang ditunggu-tunggu iaitu cabutan bertuah. Semasa acara ini KRAF telah menjemput pengetua, Barisan Pentadbir dan Ketua-Ketua Bidang bagi menyempunakan majlis. Sebanyak 63 cabutan untuk semua guru-guru dan staf yang hadir dan 3 cabutan Hadiah Utama telah dijalankan. Seperti mendapat durian runtuh, Encik Matnor bin Daud telah memenangi Hadiah Cabutan Utama iaitu wang tunai RM300.00.

Majlis gilang gemilang itu telah mendapat sumbangan berbentuk hamper, baucer, dan juga wang ringgit. Antara yang telah memberikan sumbangan adalah, Kelab Guru & kakitangan SMK Lajau (KRAF), Koperasi SMK Lajau Bhd, Syarikat Singer Sukaria Trading, Hotel Tiara Labuan, Syarikat Pirana Jaya Enterprise dan Persatuan Orang-Orang Istimewa Labuan (PBOIL).

Sumbangan turut diperolehi daripada orang perseorangan iaitu, Pn. Fatimah bt Hj. Yahya, En. Jasmi bin Sabtu, Pn. Jamiah bt Hj. Jamadil, Pn. Najihatusy Syahidah bt Ganden Lubis, Pn. Noraini bt Hj. Sabudin, Pn.Maslinda bt Musa, Pn. Mazihan bt Jusop, Pn. Nur Sazela bt Fahruddin, En. Isa bin Sidin, En. Linus @ Hafiz dan  Pn. Huzaimah bt Khalid.

Sumber Berita : SMK Lajau

3 pemenang Hawaii Best Dress , Pn. Zurina, En.Jasmi dan Pn. Jalina
image_pdfimage_print