SAS Juara Kejohanan Ping Pong MSSWPL 2018

Dari kiri Gloria Liew, Winnie Lim, En. Jerry Totih (Jurulatih), Jeff Lim dan Lester Lim

Jabatan Pendidikan Labuan telah  menganjurkan pertandingan Kejohanan Ping Pong peringkat MSSWPL pada 24hb Februari 2018 bertempat di Dewan SJK (C) Chin Wen, Wilayah Persekutuan Labuan bagi tahun 2018.

Pertandingan tersebut telah melibatkan 10 buah sekolah menengah dan sekolah rendah  di seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.

Pertandingan ini telah diadakan bagi mencari dan  mencungkil bakat para pelajar dalam  bidang sukan Ping Pong. Maka,  pertandingan ini telah mensasarkan kepada murid Sekolah Rendah dan Sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Kejohanan ini telah  mempertandingkan 2 jenis pertandingan iaitu  kategori Perseorangan dan  kategori Bergu yang  melibatkan  dua kategori  iaitu kategori umur 12 tahun dan ke bawah  bagi lelaki dan perempuan serta kategori 18 tahun dan ke bawah bagi lelaki dan perempuan.

Sekolah Menengah St. Anthony telah dinobatkan sebagai Johan keseluruhan bagi Sekolah Menengah  dalam pertandingan ini  dan mendapat 2 Pingat Emas, 2 Pingat Perak dan 1 Pingat Gangsa manakala Naib Johan telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Labuan dan tempat Ketiga dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsan Mutiara.

Sekolah Menengah St. Anthony telah diwakili oleh lima orang murid iaitu Jeff Lim, Lester Lim, Abdul Shafiq dan Winnie Lim dari kelas  Empat Sirius dan seorang pelajar  dari kelas Empat Orion iaitu  Gloria Liew. Semua pelajar ini terdiri daripada  pelajar tingkatan 4.

Dalam kejohanan ini  Adik Jeff Lim dan Lester Lim telah memperolehi pingat emas dalam kategori bergu kategori LB18,  manakala adik Winnie dan Gloria Liew memperolehi pingat perak kategori PB18. Dalam kategori perseorangan pula adik Jeff Lim memperolehi pingat emas, Lester Lim pingat gangsa dan adik Winnie juga mendapat pingat gangsa.

Menurut Jerry Totih iaitu jurulatih sukan permainan  Ping Pong SAS, beliau berkata Pengetua SM St. Anthony, iaitu Puan Dona Undoh juga sentiasa memberikan galakan, sokongan dan dorongan kepada semua atlet sekolah ini. Galakan dan dorongan ini telah menaikan semangat para pelajar untuk mengikuti semua acara yang dipertandingkan.

Menurut pengetua SAS, Puan Dona Undoh telah menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha memberi penekanan terhadap peranan sukan dan aktiviti kokurikulum di sekolah bagi melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial iaitu selaras dengan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025 untuk melahirkan modal insan secara holistik yang tidak hanya tertumpu kepada kejayaan akademik semata-mata, tetapi juga penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum

Harapan pengetua agar lebih banyak lagi murid-murid SM St. Anthony menyertai pertandingan seumpama ini bagi mencungkil bakat terpendam dalam kalangan murid. Beliau juga amat berbangga dengan kejayaan yang dicapai oleh murid-murid ini. Majulah Sukan Untuk Negara.

Berita Oleh : DK Suhana PG Tassip

image_pdfimage_print