Kemenjadian Murid Perlu Seimbang, Sukan Olahraga SMK Lajau 2018

Encik Jamatin ( Tengah ) dan Encik Asbollah, Encik Dahlan, Encik Jasmi dan Puan Nur Ain bergambar kenangan bersama guru-guru SMK Lajau yang menjayakan kejohanan sukan olahrga 2018.

LABUAN:  Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau telah diadakan pada 03 dan 04 Mac 2018 bertempat di Kolej Matrikulasi Labuan.

Kejohanan Sukan  Olahraga ini telah dijayakan oleh 150 orang pelajar yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara balapan seperti lari pecut 100 meter dan 200 meter serta larian jarak jauh 800 meter dan 1500 meter.

Manakala peserta perbarisan pula terdiri daripada 185 orang pelajar. Selain itu, pada hari kemuncak kejohanan diadakan juga acara terbuka untuk warga PIBG yang hadir menyaksikan anak-anak mereka bertanding dan acara terbuka khas untuk murid-murid istimewa dari kelas Program Pendidikan Khas Integrasi   ( PPKI ).

Objektif  Kejohanan Sukan Olahraga ini diadakan bertujuan untuk memilih peserta dan pasukan sekolah bagi pertandingan ke peringkat negeri yang dijadualkan pada hujung bulan Mac ini.

Selain itu, kejohanan ini diadakan untuk memperkembangkan potensi murid dalam sukan olahraga dan sebagai pendedahan kepada murid situasi sebenar pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi.

Acara kejohanan yang dipertandingan menerusi lima buah rumah sukan ini iaitu Perdana, Satria, Wira, Inspira dan Waja mendapat   sambutan yang baik dari semua murid SMK Lajau. Bagi acara padang, telah dilaksanakan di padang sekolah SMK Lajau pada 02 Mac 2018.

Acara perbarisan lintas hormat rumah sukan

Kejohanan Sukan  Olahraga di SMK Lajau pada tahun ini dijayakan dengan kerjasama padu oleh 60 orang guru dan 12 orang kakitangan sokongan yang bergabung tenaga membentuk jawatankuasa yang mantap disamping kerjasama erat ahli jawatankuasa PIBG SMK Lajau.

Terdapat beberapa atlet yang telah berjaya memecahkan rekod terbaharu bagi beberapa acara.  Antaranya ialah acara lompat jauh yang berjaya dipecah rekod oleh adik Mohd Abri Mohd Salleh dari rumah sukan Inspira.  Rekod lama bagi acara tersebut ialah 5.36 meter manakala rekod terbaharu yang dicipta oleh murid ini ialah 5.65 meter.

Manakala adik Dayangku Nur Lailatul Fatihah pula berjaya mencipta rekod terbaharu bagi acara lari jarak jauh 1500 meter dengan catatan masa terbaharu 7 minit 26 saat berbanding rekod lama 7 minit 33 saat.

Rumah sukan Waja telah menyandang johan keseluruhan Kejohanan Sukan Olahraga pada tahun 2018  diikuti rumah sukan Satria tempat kedua, rumah sukan Wira tempat ketiga, rumah sukan Perdana tempat keempat dan rumah sukan Inspira tempat kelima.

Kemenangan ini menjadi suntikan semangat kepada semua murid di SMK Lajau untuk terus bersaing secara sihat sesama mereka dalam acara sukan.

Encik Dahlan Kassim (PK kokurikulum) menyampaikan hadiah kemenangan kepada peserta kejohanan sukan olahraga

Dalam ucapan aluan Pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin Abd Latip menyentuh tentang kemenjadian murid bukan sahaja dalam akademik malah dalam sahsiah dan sukan juga perlu diseimabangkan.

Beliau sangat terharu dan berterima kasih kepada semua pelajar SMK Lajau yang menunjukkan disiplin yang sangat tinggi ketika berada di Kolej Matrikulasi Labuan dalam kejohanan sukan olahraga pada tahun ini. Beliau mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Kejohanan Sukan Olahraga SMK Lajau kali ke-21.

Pada hari kemuncak Kejohanan Olahraga SMK Lajau Kali Ke 21/2018, En. Assbollah bin Amit   Ketua Sektor , Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan  telah merasmikan kejohanan ini.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar semua pelajar  terus bergiat aktif dalam bidang sukan bagi melahirkan lebih ramai pelapis sukan dalam acara olahraga terutamanya sebagai pengganti para atlet yang ada pada masa kini.

Berita Oleh : SMK Lajau

image_pdfimage_print