Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Lajau Kali Ke-17 Tahun 2018

LABUAN – 10 MAC 2018 – Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lajau Kali Ke-17 Tahun 2018 telah selamat dirasmikan oleh Yang Berbahagia , Puan Hjh. Fauziah binti Datuk Hj. Mohd Din, ADK   pada 10 Mac 2018 bertempat Dewan Mini SMK Lajau,WP Labuan tepat jam 9.45 pagi disaksikan Pengetua SMK Lajau Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip beserta barisan AJK PIBG sesi 2018/2019 dan semua hadiran yang hadir.

Mesyuarat Agung Tahunan PIBG ini dijalankan secara rutin iaitu pada setiap tahun adalah bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara ibu bapa dan guru serta komuniti sekitarnya, bertukar-tukar pandangan serta mencari jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah yang berkaitan dengan sekolah. Bahkan, pogram ini merupakan salah satu program di bawah inisiatif #62 Perluasan Pelaksanaan Penglibatan Ibu Bapa Dan Komuniti Dalam Ekosistem (PIBK)  Sekolah Tahun 2018 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025.

Tepat jam 7.30 pagi, ibu bapa dan guru telah membuat pendaftaran di luar Dewan Mini SMK Lajau. Semua ibu bapa dan guru menantikan kedatangan perasmi dan tetamu jemputan. Tepat jam 8.35 pagi , ketibaan perasmi iaitu Puan Hjh. Fauziah binti Datuk Hj. Mohd Din, ADK telah disambut oleh pengetua SMK Lajau disamping barisan penolong kanan serta guru kanan bidang sambil diperhatikan oleh para ibu bapa dan guru.

Mohd Jamatin ( tiga dari kiri ) En Tapa Jani YDP PIBG SMK Lajau ( Empat dari Kiri ) dan barisan pentadbir dan AJK PIBG

Mesyuarat Agung telah dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Zahari bin Awang, diikuti nyanyian lagu Negaraku dan Lagu Wilayah Maju dan Sejahtera. Majlis diteruskan dengan ucapan Naib Yang Dipertua PIBG SMK Lajau iaitu Puan Sarina binti Shaari dan diikuti ucapan pengetua SMK Lajau iaitu Encik Mohd Jamatin bin Abd Latip. Pengetua dalam ucapannya sempat menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua ibu bapa yang hadir dan perasmi serta semua tetamu jemputan.

Ucapan oleh Yang Berbahagia , Puan Hjh. Fauziah binti Datuk Hj. Mohd Din, ADK selaku Bapa Korporat SMK Lajau tahun 2018 menyusul selepas ucapan pengetua. Beliau terlebih dahulu merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak sekolah dan PIBG kerana sudi menjemput beliau sebagai perasmi. Dalam ucapannya, beliau berharap semua ibu bapa yang hadir pada hari ini dapat bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memajukan dan mengubah suasana sekolah ke arah yang lebih baik serta kondusif bagi menarik minat semua pelajar ke sekolah. Bahkan, beliau berharap suatu hari nanti anak-anak SMK Lajau akan dapat mengharumkan nama sekolah dan Labuan di persada antarabangsa. Perasmi juga memuji sikap Pengetua SMK Lajau yang dilihat peka dengan keadaan SMK Lajau dan dia mengharapkan beberapa tindakan perlu diambil dalam membaik pulih infrastruktur di SMK Lajau secepat  mungkin.

Selain itu, perasmi juga memandang serius tentang permintaan pihak sekolah untuk membaik pulih Dataran Gemilang dan bersetuju dengan pihak sekolah yang ingin membina pondok bacaan. Hal ini kerana, beliau sangat meminati aktiviti membaca buku dan ianya sangat penting bagi pelajar sekolah bagi menambah ilmu. Bahkan, usaha pihak sekolah untuk menambah bilangan pokok di sekolah disambut baik oleh beliau. Hjh. Fauziah turut mengajak semua ibu bapa bersama-sama membantu mengenal pasti kecenderungan minat dan kemahiran anak – anak bermula sejak kecil lagi. Beliau berpendapat seseorang pelajar perlulah seimbang dari segi akademik dan sahsiah bagi menghadapi tahun mendatang yang pastinya lebh mencabar. Akhir sekali, perasmi mengharapkan agar mesyuarat ini mendapat kata sepakat dari semua pihak.

Beliau selepas itu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lajau Kali Ke-17 Tahun 2018 dan menyaksikan persembahan multimedia sebagai tanda rasmilah sudah mesyuarat tahun ini. Kemudian, penyampaian cenderahati kepada perasmi telah disampaikan oleh pengetua SMK Lajau dan disaksikan oleh semua hadirin yang berada di dalam dewan.

Seterusnya, majlis penanaman pokok kelapa menyusul selepas itu. Aktiviti ini merupakan acara khas VIP yang dijalankan di Padang Bola SMK Lajau. Acara ini melibatkan penanaman pokok kelapa oleh Puan Hjh. Fauziah binti Datuk Hj. Mohd Din, ADK Bapa Korporat SMK Lajau, ASP Lee Chee Yong Pegawai Perhubungan SMK Lajau, Encik Mohamad Bin Jakob Ketua Kampung Lajau, Encik Mohd Jamatin Bin Abd Latip pengetua SMK Lajau, Puan Sarina binti Shaari  Naib Yang Dipertua PIBG SMK Lajau sesi 2018/2019 serta disaksikan oleh barisan penolong kanan dan guru kanan bidang.

Sementara itu, di dalam dewan berlangsung pula ceramah daripada Dr. Sabbitan A/L Balkrishnan daripada Unit Psikiatri Dan Kesihatan Mental Hospital Labuan berkaitan dengan ceramah keibubapaan. Selepas itu, ceramah daripada Jabatan Kesihatan Awam W.P Labuan iaitu Talasemia disampaikan oleh Dr. Tengku Intan Najwa bin Tengku Azmi.

Mesyuarat Agung dimulakan dengan ucapan ringkas Naib Yang Dipertua PIBG SMK Lajau sesi 2018/2019 seterusnya membentangkan agenda mesyuarat satu persatu. Proses perlantikan ahli jawatan kuasa PIBG sesi 2018/2019 hanya melibatkan pemilihan jawatan Yang Dipertua PIBG. Akhirnya, semua sebulat suara memilih dan mengamanahkan Encik Tapa bin Jani sebagai Yang Dipertua PIBG yang baharu bagi sesi 2018 / 2019. Gabungan AJK baharu dan lama telah dipilih dan semoga tanggungjawab yang diamanahkan dapat disempurnakan dengan jayanya. Dengan perlantikan tersebut, maka sempurnalah Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lajau Kali Ke-17 Tahun 2018. Ucapan pengguhan oleh YDP PIBG 2018/2019 yang baharu tepat pada jam 12. 57 tengahari dan ucapan terima kasih kepada semua ahli mesyuarat  yang hadir. Pelaporan menyuarat disediakan oleh Cik Nur Khuzaimah Zakaria.

image_pdfimage_print