SMK Pantai IB Word School Cipta Sejarah, Juara Keseluruhan MSSWPL 2018

YB Datuk Bashir menyampaikan Piala Juara Keseluruhan kepada kontinjen SMK Pantai IBWS sambil diperhatikan oleh Encik Raisin Saidin

Labuan, 31 Mac – SMK Pantai IB World School, W.P Labuan mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang JUARA KESELURUHAN Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) kategori sekolah menengah apabila menumbangkan Juara Bertahan Sekolah Sukan Negeri (SSN) SMK Mutiara di Kompleks Sukan Labuan.

Dalam kejohanan yang berlangsung dari 28 Mac hingga 31 Mac 2018 SMK Pantai IBWS memperoleh 17 pingat Emas, 14 Perak dan 4 Gangsa.

Manakala SSN SMK Mutiara memperoleh 16 Emas, 10 Perak dan 16 Gangsa. Kedua-dua sekolah bersaing sengit sejak hari pertama Kejohanan bermula.

Tempat ketiga disandang SMK Labuan yang mengutip 8 Emas, 12 Perak dan 8 Gangsa, sementara SM Sains Labuan di kedudukan keempat dengan 8 Emas, 10 Perak dan 15 Gangsa

Penutupan Kejohanan disempurnakan oleh YB Senator Datuk Bashir Hj Alias sebentar tadi. Turut hadir Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Labuan.

Lebih manis apabila atlet SMK Pantai IB World School memecahkan 5 rekod kejohanan daripada 16 rekod yang dipecahkan bagi sekolah menengah dan sekolah rendah sepanjang kejohanan.

Para atlet dan jurulatih SMK Pantai melompat kegembiraan sejurus dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan

SMK Pantai IB World School pada peringkat awal hanya mensasarkan 10 pingat Emas, dan kejayaan meraih 17 Emas adalah satu bonus kepada seluruh warganya.

Kejayaan SMK Pantai IB World School menjuarai kejohanan berprestej ini adalah hasil kerja keras para atlet dan guru-guru penasihat serta jurulatih yang tidak pernah jemu dalam melatih bakat-bakat murid berpotensi dalam Program Tiga Tahun Mencungkil Bakat yang bermula sejak Tahun 2015 diketuai oleh Cikgu Hassan Abadin, serta guru-guru lain seperti Cikgu Haslindah, Cikgu Hidayah, Cikgu Royani, Cikgu Cladius, Cg Jefferson a/l Shanmunggam, Cikgu Khaidhir, Cikgu Mirwanuddin, Cikgu Mohd Firdaus, Cikgu Wilter, Cikgu Saifol, Cikgu Susilawati Hong dan Cikgu Moh.

Para atlet berlatih sepanjang tahun termasuk pada cuti penggal persekolahan. Sokongan para ibu bapa termasuk latihan kendiri di Kompleks Sukan, di tepian pantai dan lokasi lain turut menyumbang kepada kejayaan ini.

Laungan keramat/tagline ilham pengetuanya ” Sorakan 123 dan SMK Pantai IBWS Menjulang Nama” menjadi atlet yang berjuang di padang….Begitu juga lirik lagu sekolah “SMK Pantai Kebanggaan Kami” (Lirik ciptaan Pengetua sendiri dengan nama pena SAMSA HARRIS) pada frasa “Disiplin Terbilang, Di Padang Menjulang” mencetuskan semangat juang yang tinggi dalam kalangan atlet.

Pengetua SMK Pantai IB World School, Encik Sahar Misron mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada para atlet dan guru-guru serta jurulatih dan seluruh warga sekolah dan ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak SMK Pantai IB World School.

Gambar kenangan : Juara Keseluruhan MSSWPL 2018 SMK Pantai IBWS

Encik Sahar berharap SMK Pantai IB World School akan dapat mempertahankan kejuaraan pada Tahun 2019 menerusi latihan berterusan dan kesungguhan para atlet. Di samping itu atlet terus berusaha menaikkan nama Labuan dalam Kejohanan MSSM nanti dengan membawa pulang pingat emas.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas, tahniah dan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh jawatankuasa kerja MSSWPL 2018 kerana telah menjalankan tugas dengan cemerlang.

Persaingan tahun ini amat sengit dan itulah buktinya latihan semua atlet oleh jurulatih-jurulatih di sekolah berkesan. Tahniah kepada juara baharu sekolah rendah dan sekolah menengah.
Sesungguhnya kita semua adalah JUARA.

Sekolah Kebangsaan Pekan Satu dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah dengan pungutan 3 pingat emas, 1 perak, 1 gangsa, diiikuti oleh SK Pantai 2 emas, 6 perak, 1 gangsa dan SK Lubok Temiang 2 emas, 4 perak.

SK Sungai Bedaun, SKK Rancha-Rancha dan SJK(C) Chi Wen juga memperoleh 2 emas.

Juara keseluruhan kategori sekolah rendah SK Pekan Satu

Kemenangan SMK Pantai IB World School ditutup dengan menjadi juara Perbarisan kategori sekolah menengah menewaskan juara bertahan 6 tahun berturut-turut, SM St Anne.

SK Sungai Bedaun berjaya mempertahankan juara Perbarisan kategori sekolah rendah.

Sumber berita :
ENCIK SAHAR BIN MISRON
PENGETUA SMKP IBWS
31 MAC 2018

image_pdfimage_print