Kursus Pengupayaan Pengurusan Kepimpinan Organisasi Penolong Kanan 2018

Duduk Kiri Dr Zakaria, YDP MPSM En Omar, En Yusof, Berdiri kiri Pn Chan, Pn Winnie, En Salim, En Sahar, Tengah Tim. YDP MPSM Mohd Jamatin, Pn Dona

LABUAN Majlis Pengetua Sekolah Malaysia ( MPSM ) Wilayah Persekutuan Labuan telah mengorak langkah untuk mengadakan Kursus Pengupayaan Pengurusan Kepimpinan Organisasi Penolong Kanan sekolah menengah tahun 2018 khusus kepada penolong-penolong kanan di sekolah menengah.

Ini selaras dengan Langkah ke tiga dalam  Perancangan Intervensi Lima Langkah ( PILL ) dalam DTP, Kementerian Pendidikan Malaysia, iaitu memberikan input-input amalan terbaik yang diamalkan di sekolah-sekolah khususnya kepada pemimpin pertengahan.

Secara umumnya kursus ini dapat membantu pemimpin pertengahan yang terdiri daripada Penolong-penolong Kanan Sekolah Menengah untuk meningkatkan keupayaan mereka sebagai pemimpin Instruksional yang berkesan dan mempunyai kompeten yang tinggi sebagai peneraju, pembimbing, pendorong dan pengurus organisasi di peringkat sekolah sebagai pemimpin pelapis kepada pengetua.

Adalah diharap dengan pelaksanaan kursus dan program ini para peserta akan dapat meningkatkan pengetahuan dan berkemahiran dalam bidang pengurusan kepimpinan organisasi.

Mereka juga berupaya dan mempunyai gaya kepimpinan sebagai peneraju, pembimbing dan pendorong warga sekolah secara profesional dan terancang. Selain itu, mereka juga dapat menghayati peranan dan tanggungjawab sebagai penolong kanan secara professional dan kompeten yang melibatkan penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan HEM dan Penolong Kanan Kokurikulum.

Kursus ini dijalankan dalam empat slot siri ceramah dan bengkel selama dua hari bermula pada 26 – 27 Mac 2018 di Bilik Benua, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan.

Penceramah kursus, Encik Salim dan peserta kursus

Ceramah dan bengkel di bimbing oleh Dr Zakaria bin Othman Pegawai SIP+  Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran Sabah, Puan Hjh Sharifah binti Ghul Hassan SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu, Sabah, Encik Salim bin Tahir SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Papar, Sabah, Puan Linna binti Hassan SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Semporna, Sabah, Puan Winnie Phan, SIP+ Pejabat Pendidikan Daerah Penampang, Sabah dan Encik Yusuf bin Hj. Mohamad SIP+ Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.

Slot pertama Kepimpinan Instruksional yang dipimpin oleh Dr Zakaria bin Othman melalui ceramah dan bengkel kepimpinan instruksional. Slot kedua Kajian Tindakan yang disampaikan oleh Puan Hjh Sharifah binti Ghul Hassan melalui ceramah dan juga bengkel.

Di sebelah petang ceramah dan bengkel berkaitan Perancangan Strategik yang disampaikan oleh Encik Salim bin Tahir. Pada hari kedua, diteruskan dengan ceramah  dan bengkel berkaitan Goal Setting yang dibimbing oleh Puan Winnie Phan dan Puan Linna binti Hassan.

Majlis penutupan kursus disempurnakan oleh Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, wakil rasmi pengarah Pendidikanan Labuan Puan Norismah binti Hj Abdul Moin.

Dalam ucapannya, beliau memuji tindakan yang diambil oleh MPSM Wilayah Persekutuan Labuan dalam menyahut cabaran Pendidikan Abad ke-21 (PAK 21) dengan memperkayakan ilmu berkaitan kepada pemimpin pelapis di sekolah. Beliau juga mengingatkan peserta kursus agar mempraktik ilmu yang diperoleh di sekolah selain peserta kursus akan diselia oleh MPSM sehingga bulan Ogos 2018.

Penyampaian sijil penghargaan kepada penceramah Dr Zakaria oleh Puan Norismah

Dalam ucapan aluan, Yang Dipertua MPSM Wilayah Persekutuan Labuan Encik Omar Baki bin Matussin yang juga Pengetua SMK Rancha-Rancha mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang memberikan kerjasama dan memberikan peruntukan kewangan untuk mengadakan kursus berkenaan.

Beliau juga berterima kasih kepada semua jawatankuasa yang bertungkus lumus menjayakan kursus berkenaan. Di akhir majlis penyampaian sijil dan cendera mata kepada penceramah dan juga kepada peserta kursus oleh perasmi.

Berita Oleh : Encik Mohd Jamatin Abd Latip, Pengetua SMK Lajau, merangkap Timbalan YDP MPSM Labuan

 

image_pdfimage_print