SK Tanjung Aru, Guru Dihargai, Murid Disayangi

16Mei 2018/Labuan – 16 Mei merupakan hari yang cukup bermakna bagi seluruh warga pendidik di Malaysia, di mana sambutan hari guru diadakan bagi menghargai jasa guru di dalam bidang pendidikan. Pada hari yang istimewa ini, SK Tanjung Aru menyambut hari guru di peringkat sekolah dan juga menyambut hari lahir murid yang jatuh pada bulan April, Mei dan Jun sebagai tanda kasih sayang pihak sekolah kepada murid-murid terlibat.

Hari Guru tahun 2018 disambut secara sederhana namun bermakna kerana Guru Besar di dalam ucapannya mengatakan bahawa ‘guru merupakan barisan hadapan dalam merealisasikan harapan negara untuk menjadikan negara kita maju setanding dengan negara-negara lain’. Selain itu juga, Guru Besar, Puan Murni Binti Jaafar juga menyatakan dan menyeru kepada semua guru untuk terus bersungguh-sungguh mendidik anak-anak murid di SK Tanjung Aru kerana ‘guru merupakan agen perubahan atau trasnformasi kepada kemajuan negara kita, Malaysia’ selaras dengan tema hari guru pada tahun ini iaitu “ Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”.

Selain daripada menyambut hari guru, sekolah juga menyambut hari lahir murid yang jatuh pada bulan April, Mei dan Jun. Sambutan harijadi ini diadakan setiap 3 bulan bagi menghargai dan menunjukkan kasih sayang guru terhadap anak-anak murid di sekolah ini. Aktiviti sambutan harijadi ini merupakan usaha sekolah melalui program yang dianjurkan oleh unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah. Sumbangan seperti hadiah dan kek harijadi daripada pihak ibu bapa, guru dan masyarakat sekeliling menjadikan sambutan hari lahir anak-anak murid di sekolah ini begitu istimewa dan tidak dapat dilupakan. Kerjasama daripada pelbagai pihak ini menjadikan hubungan ibu bapa, guru dan masyarakat menjadi erat demi anak-anak murid sekolah ini.

Akhir sekali, sambutan hari guru dan hari lahir anak-anak murid SK Tanjung Aru ini menjadikan setiap warga sekolah dan masyarakat di sekitarnya untuk saling menghargai dan bantu-membantu demi mencapai matlamat yang sama.

 

image_pdfimage_print