Program Khidmat Bantu Peningkatan Penggunaan Vle Frog Sk Sungai Lada

LABUAN – Pada 17 Mei yang lalu seramai 24 orang murid SK Sungai Lada yang terdiri daripada murid-murid Tahun 5 telah mengikuti Program Khidmat Bantu Peningkatan Penggunaan VLE Frog yang dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTPN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

            Seramai 6 orang wakil BTPN KPM termasuk wakil Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan telah menjalankan program ini di beberapa buah sekolah pada 16 dan 17 Mei. Program yang berlangsung selama sejam itu dijalankan di Makmal Komputer SK Sungai Lada yang mana melibatkan penerangan dan demonstrasi pengajaran kepada murid-murid dengan menggunakan aplikasi VLE Frog iaitu Frog Play.

            Selama sejam, murid dibimbing mengenai cara menggunakan Frog Play. Selain bimbingan kepada murid, khidmat bantu ini juga merupakan bimbingan dan bantuan kepada guru ICT berkenaan kaedah dan cara pengendalian murid-murid semasa menjalankan sesi pengajaran disamping penggunaan Frog Play semasa pengajaran dan pembelajaran.

            Melalui program ini, kemahiran murid-murid menggunakan aplikasi Frog Play dapat ditingkatkan, murid-murid dapat membantu menggalakkan rakan-rakan lain untuk menggunakan aplikasi VLE Frog sama ada di sekolah mahupun di rumah serta murid-murid dapat meneroka satu sumber lain bagi mengulang kaji pelajaran secara kendiri.

            Menurut Puan Maimunah wakil dari BTPN, tujuan lawatan ini adalah untuk memberikan bimbingan kepada sekolah mengenai penggunaan VLE Frog dengan harapan peningkatan kepada 1.8juta murid menggunakan VLE Frog secara purata bulanan. Beliau berharap, semua guru dapat menggalakkan murid menggunakan Frog Play bagi menjawab soalan mengikut tahap dan subjek. Encik Awang Martin wakil dari JPN WPL pula menegaskan guru-guru perlu memberi ruang dan peluang kepada murid-murid untuk mencuba dan menggunakan VLE Frog sejajar dengan kemudahan dan prasarana yang telah diberikan kepada sekolah bagi menunaikan hak murid meneroka ilmu dan kemahiran baharu. Guru Besar Sk Sungai Lada, Encik Maidan Dali @ Sumardi Bin Yusoff pula dalam ucapan beliau berharap dengan lawatan bimbingan ini, sekolah dapat mencapai KPI yang ditetapkan oleh KPM. Beliau turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada pihak BTPN kerana sudi mengadakan lawatan ke SKSL sekali gus memberikan bimbingan kepada guru-guru dan murid SKSL dengan harapan sekolah dapat memperkasakan penggunaan VLE Frog dalam kalangan murid.

Disediakan oleh : Dg Siti Hasanah Binti Hassan.

image_pdfimage_print