Pertandingan Gallery Walk (PAK21) Sejarah Menengah Atas 2018

SMK Taman Perumahan Bedaun meraih Johan Pertandingan Gallery Walk Sejarah Menengah Atas Peringkat WP Labuan 2018

Labuan, 5 Okt : Jabatan Pendididkan W.P.Labuan dengan kerjasama Panitia Sejarah SM Sains Labuan telah menganjurkan Pertandingan Gallery Walk Sejarah Menengah Atas pada 4 Oktober 2018 bertempat di Dewan Samudera, SM Sains Labuan.

Pertandingan ini bermatlamat untuk mengaplikasikan pendekatan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dalam kalangan murid dan guru terutamanya dalam merungkai kurikulum Sejarah Menengah Atas.

Urusetia pertandingan, Encik Samsuri Amin berkata pertandingan ini berjaya menarik penyertaan dari sembilan buah sekolah menengah di seluruh Labuan melibatkan 135 murid dan 27 guru.

Setiap sekolah disertai oleh 5 murid sebagai pembentang dan 10 orang penyokong dengan mempamerkan bahan-bahan pembelajaran berbentuk maujud berbantukan teknologi semasa di stesyen masing-masing.

Para peserta sedang menjawab kuiz sebagai aktiviti sampingan semasa pertandingan

Selain mempamerkan bahan inovasi pembelajaran yang berkaitan kurikulum Sejarah, setiap kumpulan perlu memberi penerangan kepada pengunjung stesyen dan para hakim pertandingan yang dilantik sebagai sebahagian kriteria penilaian.

Pertandingan ini dirasmikan oleh Pengetua SM Sains Labuan, Tuan Haji Mahamad Shukri bin Said.

Ketika ditemui, Haji Shukri berpendapat program ini amat baik dan sangat berguna sebagai medium mengetengahkan bakat murid sebagai peneroka dan penyampai ilmu Sejarah terutamanya dalam mencapai hasrat PAK21 mencakupi elemen komunikasi, kolaboratif, kreativiti, pemikiran kritis dan nilai murni.

Pembentang sedang menerangkan bahan-bahan pameran kepada hakim pertandingan

Namun begitu beliau berharap agar program ini dapat melibatkan lebih ramai murid pada masa akan datang kerana bahan-bahan inovasi yang dipamerkan oleh setiap sekolah sangat menarik dan membantu pembelajaran.

SMK Taman Perumahan Bedaun telah dinobatkan sebagai Johan dengan membawa pulang hadiah tunai sebanyak RM500 sumbangan Koperasi Pelajaran W.P. Labuan. Tempat kedua dimenangi oleh SM St. Anne dan tempat ketiga diraih oleh SM Sains Labuan.

Selain itu, SMK Taman Perumahan juga memenangi kategori Bahan Inovatif Terbaik, Stesyen Terbaik dan Pembentang Terbaik.

Jabatan Pendidikan W.P. Labuan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini secara langsung atau tidak langsung. Kemenjadian dan kecemerlangan murid bermula di sini.

Bahan pameran oleh SM St Anne

 

Hakim pertandingan bergambar kenangan bersama perasmi Tuan Haji Mahamad Shukri bin Said
image_pdfimage_print