Bengkel Pemantapan Pembangunan Organisasi Jabatan Pendidikan WP Labuan

Encik Raisin Saidin bersama Penceramah Encik Muhamad Bustaman dan peserta bengkel

Labuan, 6 Okt – Jabatan Pendidikan WP Labuan telah mengambil inisiatif bagi memantapkan pengurusan jabatan dengan mengadakan Bengkel Pemantapan Pembangunan Organisasi menggunakan Pelan Strategik JPWPL pada 4-6 Oktober 2018 di Kota Kinabalu.

Penceramah jemputan bengkel ini ialah Encik Muhamad Bustaman Abdul Manaf, Pensyarah Cemerlang daripada Institut Aminudin Baki yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam pengurusan strategik.

Bengkel ini bermatlamat untuk membina satu kerangka pelan strategik JPWPL 2019-2025  yang tersusun dan sistematik untuk menterjemahkan misi dan visi Kementerian Pendidikan Malaysia kepada tindakan dan proses kerja peringkat jabatan dan sekolah-sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam fasa pengenalan, beliau membuat pernyataan menyeluruh tentang tujuan dan faedah pembinaan perancangan strategik bagi meningkatkan tahap kesediaan dan keberkesanan dalam melaksanakan perancangan pelan strategik jabatan.

Seterusnya, beliau memfokuskan kepada kefahaman kaedah dan prosedur yang betul membina pelan strategik menggunakan ‘tools’ pengurusan yang sesuai seperti SWOC, PESTEL, Prinsip 7’s, ERRC dan Analisis Jurang bersandarkan kepada mandat, dasar dan data-data berkaitan pendidikan.

Perbengkelan diteruskan bagi membuat kerangka utama Pelan Strategik JPWPL 7 Tahun menfokuskan matlamat strategik dengan petunjuk-petunjuk prestasi utama, menyediakan kerangka kerja apa yang patut dilakukan untuk menentukan hala tuju masa depan organisasi agar lebih berfokus bagi mencapai misi dan visi Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin menzahirkan rasa syukur kerana program dapat dilaksanakan dengan teratur dan berharap ianya dapat menghasilkan Pelan Strategik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan yang akhirnya dapat merealisasikan visi Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera.

Encik Raisin Saidin menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Muhamad Bustaman
image_pdfimage_print