SJK (C) Chi Wen Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Tahun 2018

Adik Nicole dan Mac Frederon serta Cikgu Farik bergambar kenangan bersama YB Teo Nie Ching

Labuan, 9 Oktober – Adik Nicole Grace Wong dari SJK(C) Chi Wen telah dinobatkan sebagai Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36 Tahun 2018 bertempat di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2018.

Seramai 28 orang peserta daripada seluruh Malaysia kecuali Sarawak dan WP Putrajaya telah menyertai pertandingan syarahan pada tahun ini yang bertujuan untuk menggalakkan murid-murid SJK(Cina) dan SJK(Tamil) bertutur, menguasai dan mempertingkat tahap penggunaan bahasa Melayu selain menyuntik semangat perpaduan dan muhibah serta menanamkan semangat cintailah bahasa Melayu.

Kejayaan berganda terlakar apabila kedua-dua peserta syarahan WP Labuan yang diwakili oleh adik Nicole Grace Wong dan Mac Frederon Feridlee juga dari SJK(C) Chi Wen turut merangkul tempat ketiga syarahan berkumpulan yang ditentukan melalui kedudukan berdasarkan jumlah markah tertinggi bagi kedua-dua peserta setiap negeri.

Adik Nicole Grace Wong dari SJK(C) Chi Wen, Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri

Menurut jurulatih mereka, Cikgu Mohd. Farik bin Madun, “Kejayaan ini tercipta berkat kesungguhan dan disiplin latihan yang tidak mengenal erti putus asa. Saya amat bersyukur dengan pencapaian ini walaupun masih banyak perkara yang perlu saya pelajari, maklumlah saya baru sahaja berjinak-jinak untuk melatih murid dalam bidang syarahan sejak tiga tahun yang lalu.”.

Kenangan manis ini juga merupakan pencapaian tertinggi WP Labuan dalam Pertandingan Syarahan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan sejak 36 tahun penganjurannya. Pada tahun 2016 yang lalu, adik Michelle Chang Li Ping juga dari SJK(C) Chi Wen pernah meraih naib johan dalam Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu tetapi dalam Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan Tahun 2016.

YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia telah merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis Bahasa Melayu antara Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36 Tahun 2018 bertempat di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Adik Nicole Grace Wong dan Mac Frederon Feridlee juga dari SJK(C) Chi Wen turut merangkul tempat ketiga syarahan berkumpulan

Turut hadir Puan Rozainum binti Ahmad K.M.N, Pengarah Bahagian Kokurilum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Tuan Haji Ismail bin Musa, Pengarah Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur.

Selain pertandingan syarahan, turut diadakan pertandingan ujian bertulis yang menyaksikan 70 orang peserta berentap dalam usaha menjawab 100 soalan tatabahasa selama sejam.

Lima orang murid dari SJK(C) Chi Wen turut mengambil bahagian dalam pertandingan ujian bertulis ini iaitu Derica Goh Jia Lin, Julieny Suzanty, Chan Kah Meng, Oscar Lim Shen Hui dan Chan Yen Wei; namun rezeki tidak berpihak kepada mereka pada tahun ini.

Gambar kenangan bersama YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia

Berita Oleh : Cikgu Farik Madun, SJK(C) Chi Wen

image_pdfimage_print