SMK Labuan, Kem Cerdik Cukai Kebangsaan 2018

Labuan, 11 Okt – Pendidikan mengenai cukai perlu ditanam kepada semua masyarakat di negara ini terutama golongan muda dan belia sebagai landasan terbaik kepada mereka menjadi pembayar cukai yang bertanggungjawab dan menyemai semangat patriotik cintakan tanah air.

Lembaga Hasil Dalam Negeri bersama Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengadakan Kem Cerdik Cukai (KCC) 2018 bertempat di Akademi Percukaian Malaysia, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 30 September hingga 5 Oktober 2018.

Dengan tema Pendidikan Percukaian, Ilmu Seumur Hidup, KCC 2018 telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Ir Haji Amiruddin Hamzah, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia.

KCC merupakan aktiviti yang memberikan pendidikan awal percukaian kepada murid-murid Tingkatan 6 sebelum mereka menempuh alam pekerjaan, di samping meningkatkan kefahaman dan kemahiran asas percukaian yang bertepatan dengan persekitaran masa kini demi menerapkan sikap yang perlu diteladani untuk menjadi pembayar cukai yang bertanggungjawab dan berintegriti.

Melalui program ini, terdapat banyak aktiviti yang dilakukan termasuk Taxplore Race iaitu aktiviti dalam bentuk Explorace bertemakan percukaian serta simulasi e- Filing.

Namun pelajar bukan sahaja didedahkan berkaitan dengan percukaian semata-mata tetapi diberikan ceramah motivasi  yang boleh digunakan untuk memantapkan motivasi bagi meningkatkan pencapaian dalam pelajaran.

Terdapat juga slot yang memberikan pededahan kepada pelajar cara untuk mengisi permohonan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah yang disampaikan oleh  Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar.

Pihak Majlis Peperiksaan Malaysia juga memberikan pendedahan kepada pelajar cara untuk meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan STPM khususnya untuk subjek Pengajian Am.

Pelajar juga diberikan pendedahan cara untuk mengurus kewangan melalui slot ‘ Menggapai Pelangi’.

Dr Farah Hani Imran, pakar bedah plastik ( bekas ratu gimrama negara ), Encik Ahmad Badrul Sani, Personaliti TV Al-Hijrah dan Encik Mohd Sukur Ibrahim seorang usahawan OKU juga berkongsi pengalaman bagi memberi motivasi kepada peserta KCC.

Penyertaan Keseluruhan, 43 buah sekolah yang terpilih setiap negeri di seluruh negara melibatkan 159 pelajar dan 40 guru pengiring.

Labuan tidak ketinggalan dengan menghantar 8 orang peserta yang terdiri dari pelajar Tingkatan 6 Bawah SMK Labuan dan 2 orang guru pengiring iaitu Encik Mazri Mohamed Yunus dan Puan Evelyn Modiun.

 

image_pdfimage_print