SK Sungai Bedaun dan SK Bebuloh Jayakan Perkhemahan Perpaduan 2018

Tuan Raisin Saidin bersama Guru Besar dan guru-guru SK Sungai Bedaun dan SK Bebuloh bergambar kenangan dengan peserta perkhemahan

Pada 19-21 Oktober 2018 (Jumaat hingga Ahad) telah berlangsung perkhemahan perpaduan di Pusat Kokurikulum Negeri, WP Labuan gabungan SK Sungai Bedaun (SKSB) dan SK Bebuloh (SKB)  melibatkan 200 orang murid dari Tahun 4, 5 dan 6  dari pelbagai Unit Beruniform, iaitu Pengakap, PBSM, PPIM, dan TKRS.

Pendaftaran Perkhemahan Perpaduan bermula pada jam 2 petang (Jumaat) di Pusat Kokurikulum, WP Labuan. Setelah  selesai pendaftaran murid diberikan taklimat keselamatan dan pembahagian kumpulan. Kemudiaan murid mendirikan khemah.

Sesi Suai Kenal pada sebelah malam telah dikendalikan oleh Puan Norsidah (SKSB) dan Puan Sunarni (SKB) iaitu Guru Bimbingan dan Kaunseling.

Aktiviti peserta perkhemahan – Larian Berhalangan

Pada hari kedua, murid-murid telah dibahagikan kepada 4 kumpulan, bagi mengikuti Aktiviti Berkayak, Ikhtiar hidup, Larian Berhalangan dan Latihan Kebudayaan.

Semua murid terlibat dengan setiap aktiviti yang telah disediakan mengikut jadual penggiliran. Guru-guru dari setiap sekolah telah dilantik untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan, jurulatih-jurulatih Pusat Kokurikulum  turut membantu dalam mengendalikan aktiviti berkayak dan larian berhalangan.

Manakala, latihan kebudayaan dibantu oleh fasilitator yang telah dilantik dari kalangan guru sekolah masing-masing. Pada sebelah petang, aktiviti diteruskan lagi dengan latihan kawad kaki statik.

Seterusnya, pada sebelah malam, berlangsung pertandingan kebudayaan yang melibatkan 20 kumpulan.

Aktiviti murid-murid SKSB dan SKB – Berkayak

Pada hari Ahad, aktiviti dimulakan dengan Khidmat Masyarakat iaitu membersihkan sekitar Pusat Kokurikulum. Kemudian, raptai untuk majlis penutupan.

Perasmian Majlis Penutupan Perkhemahan Perpaduan telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Tuan Raisin bin Saidin.

Turut hadir Guru Besar SK Sungai Bedaun Puan Dg.Sarifah binti A.Mahmod, Guru Besar SK Bebuloh Tuan Haji Adam, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPWPL Encik Hasbollah bin Amit, En. Roziman Sabtu Penolong Pengarah Pusat Kokurikulum,Jurulatih Pusat Kokurikulum, Barisan Penolong Kanan, dan Guru-guru.

Dalam majlis penutupan, murid-murid telah mendapat hadiah dalam pertandingan-pertandingan yang dipertandingkan sepanjang perkhemahan perpaduan. Hadiah telah disampaikan oleh Tuan Pengarah kepada ketua kumpulan.

Penyampaian hadiah kepada pemenang oleh Tuan Raisin Saidin

Dalam ucapan perasmian penutupan, Tuan Raisin Saidin menyatakan melalui perkhemahan dapat membentuk jati diri yang unggul di samping dapat memupuk sikap bertanggungjawab dan menanam sikap kekeluargaan serta kerjasama dalam ahli kumpulan. Aktiviti secara kolaboratif menggabungkan dua buah sekolah juga wajar diteruskan untuk aktiviti-aktiviti akan datang.

Puan Dg. Sarifah binti A. Mahmod (Guru Besar, SK Sungai Bedaun), mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Semua guru, dan AKP yang telah menjayakan Perkhemahan Perpaduan Kolaboratif SK Sungai Bedaun dan SK Bebuloh pada kali ini.

Sepanjang perkhemahan ini, guru-guru telah menyediakan makanan 6 kali sehari untuk memastikan murid sentiasa bertenaga untuk mengikuti setiap aktiviti yang dijalankan.

Kumpulan memasak SK Sungai Bedaun diketuai oleh Puan Khadijah binti Tamit dan Puan Yuhana binti Yusuf serta guru-guru dan AKP perempuan turut membantu dalam menyediakan makanan.

Diharapkan, Objektif Perkhemahan untuk membentuk ketahanan fizikal dan mental ahli Unit Beruniform serta membentuk sikap berdaya saing dalam menempuh pelbagai cabaran  dapat dicapai melalui aktiviti yang telah murid-murid lalui sepanjang perkhemahan ini.

 

KITA MAKAN DULU ! memastikan murid sentiasa bertenaga untuk mengikuti setiap aktiviti.

Berita Oleh :
SK Sungai Bedaun

 

image_pdfimage_print