KAJIAN Amalan Terbaik SISC+ dari W.P.Labuan yang bertajuk ‘Meningkatkan Tahap Profesionalisme Guru DiBimbing (GDB) Melalui Kajian Tindakan Dengan Menggunakan Borang 12 Langkah’ telah dipilih untuk menerima Anugerah Perak di Konvensyen SIPartners+ dan SISC+ Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada 29 hingga 31 Oktober 2018 di Hotel Lexis Port Dickson, Negeri Sembilan.
Konvensyen yang dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) ini adalah bertujuan untuk menyediakan satu platform melalui perkongsian amalan terbaik bagi meningkatkan kemahiran SIPartners+ dan SISC+ serta untuk menggalakkan budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan SIPartners+ dan SISC+ dalam memartabatkan kerjaya masing-masing.
Sebanyak 31 kertas kajian amalan terbaik telah dibentangkan oleh wakil setiap negeri bagi kategori SIPartners+ dan SISC+ dihadapan lebih dari 300 orang peserta konvensyen. Pasukan dari Wilayah Persekutuan Labuan telah diwakili oleh Norismah Ab Moin (Pengurus Program DTP Labuan), Mohd Nizam Yasim (Koordinator DTP Labuan), Yusuf Mohamad (SIPartners+), Pgn Abdul Kadir bin Pgn Budin, (SISC+) dan Suriani Alland Rice Oxley (SISC+).
Di dalam konvensyen ini, bagi kategori SISC+, wakil pembentang SISC+ Labuan, Suriani Alland Rice Oxley telah berjaya mendapat Anugerah Perak manakala Anugerah Emas pula dimenangi oleh wakil SISC+ dari PPD Kulai, Johor dan Anugerah Gangsa dari PPD Marang, Terengganu. Sementara itu, bagi kategori SIPartners+ pula, Anugerah Emas telah dimenangi oleh wakil pembentang dari PPD Sarikei, Sarawak, Anugerah Perak oleh wakil PPD Kota Kinabalu, Sabah dan Anugerah Gangsa dari PPD Segamat, Johor. Majlis Perasmian penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg Datuk Dr. Amin Senin, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.