Malam Festival ‘CEFR’ 2018 Peringkat W.P.Labuan

Labuan, 14 November – Seramai 91 orang guru Bahasa Inggeris termasuk Guru Besar dan Guru-guru Penolong Kanan yang mengajar mata pelajaran Bahasa Ingegris di Sekolah-sekolah Rendah di Labuan telah mengikuti ‘Common European Framework Of Reference For Languages’ (CEFR) Festival 2018 di Hotel Lazenda Labuan.

Festival ini merupakan satu program pembugaran CEFR khusus untuk guru-guru Bahasa Inggeris Sekolah Rendah di Labuan melalui perkongsian amalan pedagogi Bahasa Inggeris Tahap 1 yang terbaik, aktiviti CEFR ‘Gallery Walk’, aktiviti CEFR ‘Parking Lot’ dan permainan CEFR Kahoot.

CEFR merupakan skala penilaian yang direka khas bagi menggambarkan kecekapan dan penguasaan bahasa seseorang termasuk Bahasa Inggeris. CEFR menetapkan enam tahap penguasaan Bahasa Inggeris iaitu A1: ‘Beginner’, A2 : ‘Elementary’, BI : ‘Intermediate’, B2 : ‘Upper Intermediate’, C1 : ‘Advanced’ & C2 : ‘Proficient’.

Di Labuan, program CEFR telah mula dilaksanakan semenjak tahun 2017, bagi prasekolah, murid Tahun 1 dan 2 bagi sekolah rendah dan Tingkatan 1 bagi sekolah menengah. Guru-guru di Labuan telah berusaha melaksanakan CEFR ini dengan sebaik mungkin. Keupayaan murid-murid di Labuan dalam menguasai Bahasa Inggeris telah berjaya ditingkatkan.

Di malam festival ‘CEFR’ yang bertemakan ‘fairytale’ ini, seramai 3 orang guru telah membentangkan dan berkongsi amalan terbaik mereka iaitu Puan Angeline Leong dari SK Kerupang, Puan Alice Anthony dari SKK SK Rancha-Rancha dan Cik Sim Ming Xia dari SJKC Chung Hwa.

Selain itu, peserta turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Encik Charlie Ginsin dari SJKC Chung Hwa, Puan Subety Eloi dari SK Kerupang dan Encik Shawal Abdul Rahman dari SK Pekan Satu.

Festival CEFR 2018 ini telah dirasmikan oleh Encik Raisin Saidin, Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan.

Di dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Sektor Pengurusan Akademik di atas penganjuran festival CEFR ini yang dilihat berjaya membugarkan semula kefahaman guru-guru Bahasa Inggeris Sekolah Rendah di Labuan agar mereka boleh melaksanakan program CEFR ini dengan lebih yakin dan cemerlang pada tahun 2019 dan tahun-tahun berikutnya.

Loading

image_pdfimage_print