Bola Sepak PSKPP 2018 : Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Kekal Juara

KITA JUARA ! Encik Raisin Saidin meraikan kejayaan bersama pemain pasukan Ibu Pejabat

Labuan, 23 Nov – Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan sekali lagi membuktikan kehebatan apabila mempertahankan kejuaraan dalam Kejohanan Bola Sepak sempena Pesta Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP) WP Labuan tahun 2018.

Pasukan Ibu Pejabat JPWPL kekal juara dengan mengalahkan pasukan sekolah dari Zon 2 dengan penuh debaran dan dramatik sehingga berlarutan ke penentuan sepakan penalti.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Padang sintetik, Kompleks Sukan Labuan, juara bertahan itu ketinggalan 2-0 sebelum bangkit mengikat kedudukan 2-2, sebelum wisel penamat ditiupkan.

Penjaga gol, Azman Akhmad menjadi wira Ibu Pejabat dengan menyelamatkan 2 sepakan penalti pihak lawan selain 1 sepakan melambung tinggi menjadikan keputusan akhir 3-1.

Ketangkasan Azman menyelamatkan sepakan penalti

Ia merupakan kejuaraan kedua berturut-turut dimenangi skuad Ibu Pejabat selepas muncul juara dengan menundukkan pasukan sekolah Zon 4, pada perlawanan akhir tahun lalu.

Terdahulu, pada peringkat kumpulan pasukan Ibu Pejabat JPWPL telah menewaskan pasukan sekolah Zon 3 dengan keputusan 3-1, menewaskan Kolej Matrikulasi Labuan 2-1 dan seri 0-0 dengan pasukan sekolah Zon 5.

Jaringan tunggal Jyclso Bryan pada perlawanan separuh akhir memastikan pasukan Ibu Pejabat mara ke perlawanan akhir dengan menewaskan pasukan sekolah Zon 4 dengan kemenangan tipis 1-0.

Pada tahun ini Pasukan Ibu Pejabat bergabung tenaga dengan Sekolah Antarabangsa Labuan yang diperkuatkan 4 orang pemain.

Pengurus Pasukan Roziman Sabtu dan Kapten digalas oleh Zait Mohd Shafie.

Kenangan Encik Raisin Saidin bersama Ketua Unit Sukan Awang Zain dan para pemain

Sementara itu, pasukan sekolah Zon 4 tetap pulang ceria apabila menduduki tangga ketiga keseluruhan setelah mengecewakan pasukan sekolah zon 5 dengan keputusan 2-0.

Sebanyak 8 pasukan mengambil bahagian dalam edisi tahun ini yang dianjurkan oleh gabungan sekolah Zon 5.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin yang hadir sepanjang kejohanan berlangsung. Hadir sama, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan dan Kemanusiaan, Encik Hasbollah Amit.

Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas tahniah kepada pasukan Ibu Pejabat di atas semangat juang yang tinggi hingga berjaya mengekalkan kejuaraan.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang bertanding di atas disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi ditunjukkan sepanjang dua hari kejohanan bola sepak PSKPP berlangsung.

Dalam ucapannya, Encik Raisin Saidin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan WP Labuan yang telah memberikan kebenaran menggunakan padang sintetik jabatan itu sepanjang kejohanan tersebut. Beliau berharap agar kerjasama antara dua jabatan ini terus mantap.

Kapten Pasukan Zait Mohd Shafie

Pemain Terbaik, Adam Mizmar Harun

Penjaga Gol Terbaik, Azman Akhmad

Loading

image_pdfimage_print