Waspada Individu Mencurigakan

Labuan, 18 Februari – Murid-murid disaran agar menunggu ibu bapa di dalam kawasan pagar sekolah selepas sesi persekolahan atau kegiatan kokurikulum berakhir.

Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin berkata pihaknya telah mengarahkan Pengetua dan Guru Besar supaya memastikan ibu bapa menjemput anak mereka masing-masing apabila sudah sampai ke sekolah.

Selain itu, katanya bagi murid-murid yang menaiki kenderaan awam secara berkumpulan pihak sekolah dikehendaki memaklumkan kepada pegawal keselamatan sekolah supaya membuat pemantauan.

“Demikian juga guru bertugas minggi itu juga dikehendaki membuat pemantauan di tempat-tempat bas sekolah menunggu murid balik dari sekolah” katanya dalam satu kenyataan kepada media kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas viral kes percubaan penculikan murid Tahun 3 SKK SK St Anne Labuan, selepas waktu kokurikulum, Rabu lalu.

Encik Raisin Saidin juga mahu Pengetua dan Guru Besar serta guru-guru mengingatkan murid-murid supaya mengelakkan diri daripada duduk bersendirian ketika menunggu ibu bapa.

Pada masa sama, Encik Raisin Saidin meminta ibu bapa supaya dapat mengambil anak-anak mereka yang pulang ke sekolah pada masa yang sesuai bagi mengelakkan anak-anak menunggu lama.

“Pemandu-pemandu bas sekolah juga boleh memainkan peranan mereka memerhatikan kereta-kereta persendirian yang mencurigakan berada di kawasan luar sekolah pada masa murid-murid balik dari sekolah”, katanya.

Tambah Encik Raisin Saidin, pihak sekolah juga boleh menjadualkan Pegawai Perhubungan Sekolah PDRM berada di sekolah ketika murid-murid balik dari sekolah.

Sementara itu, beliau berkata pihak sekolah boleh merujuk pekeliling-pekeliling berkaitan langkah memastikan keselamatan murid di sekolah iaitu SPI Bil 8/1999 Keselamatan diri murid dalam perjalanan pergi dan balik sekolah dan SPI Bil 8 Tahun 2011 Pengurusan Keselamatan Murid Di Sekolah.

Encik Raisin Saidin meminta kerjasama semua pihak termasuk komuniti, Badan Bukan Kerajaan (NGO), JKKK dan Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) agar memainkan peranan masing-masing dalam membantu menangani keselamatan anak-anak terutama ketia balik dari sekolah.

“Ibu bapa perlu sentiasa menasihati anak-anak mereka supaya tidak mudah terpengaruh dengan individu yang tidak dikenali apatah lagi dalam keadaan mencurigakan di luar kawasan sekolah” katanya.

 

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.