Perhimpunan Bulanan JPWPL Disember 2018 : Kemampuan Berdepan dan Menangani Perubahan

Encik Raisin Saidin (tengah), Puan Caroline (kiri) dan Puan Norismah (kanan) bersama penerima anugerah bulan Disember 2018

Labuan, 13 Dis – Perhimpunan bulanan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan Disember merupakan pelengkap bagi kejayaan Tahun 2018, yang telah diadakan hari ini di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri.

Selepas  montaj Deklarasi 1Borneo ditayangkan, para Pengetua Guru Besar sekolah telah menyerahkan dokumentasi kejayaan sekolah kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin sebagai simbolik bagi pelaksanaan kerja buat sekolah sepanjang tahun 2018.

Selaras dengan 19 Deklarasi 1Borneo 2018 yang telah dibuat pada penghujung tahun 2017, Encik Raisin Saidin memohon Pengetua Guru Besar agar sentiasa membuat refleksi kendiri terhadap pelaksanaan program sekolah demi kemenjadian anak-anak murid Labuan.

Penyerahan dokumentasi Deklarasi 1Borneo 2018 oleh Pengetua kepada Pengarah, Encik Raisin Saidin

Sepanjang tahun 2018, pelbagai lonjakan kejayaan telah dikecapi oleh Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan terutama kejayaan dan kemenjadian anak-anak murid di Labuan.

Antaranya ialah Anugerah Karnival Inovasi Teknologi Hijau Kebangsaan, Anugerah Silver C Pertandingan Koir Antarabangsa, Johan Pertandingan School Lab Kebangsaan, Anugerah Emas Karnival Kesenian Murid Malaysia Kebangsaan, Penarafan 5 bintang PIBK Kebangsaan, Johan Pramusaji Karnival Kemahiran Pendidikan Khas Kebangsaan, Pingat Emas Sukan Lawn Bowl SUKMA Perak, Pingat Perak ‘3rd Malaysia Open International Taekwondo Championship, Johan Pertandingan Cabaran Keselamatan Siber Nasional, Naib Johan Pertandingan Bercerita Kisah Al-Quran Kebangsaan, Naib Johan Pertandingan Syarahan Bahasa Melayu Piala Perpaduan Perdana Menteri, Anugerah Perkhemahan Kadet Bomba & Penyelamat Kebangsaan, Johan Kejohanan 9th Silent Knight Cup dan banyak lagi ( Rujuk Kejayaan JPWPL 2018 ).

Tema Perhimpunan Bulanan bagi bulan Disember ialah Kemampuan Berdepan dan Menangani Perubahan.

Encik Raisin Saidin menyeru agar pihak sekolah memberi fokus kepada pelaporan dan pemantauan kemenjadian anak murid secara menyeluruh di tahap Sekolah Rendah melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang meliputi Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Penilaian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK), Penilaian Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Psikometrik.

Pentaksiran psikometrik digunakan untuk mendapatkan lebih maklumat tentang kemampuan, kekuatan, kelemahan, bakat, sikap, potensi, minat dan personaliti seseorang murid bagi tujuan membantu dalam memperkembangkan potensi dan pertumbuhan seseorang murid.

Penyampaian Anugerah Pertandingan Inovasi EKSA 2018

Majlis diserikan lagi dengan taklimat zakat,  pelancaran aplikasi E-Kalendar JPWPL, Anugerah Khas Pengarah, Anugerah Pertandingan Inovasi EKSA 2018, Penyerahan Surat kenaikan pangkat, meraikan persaraan, sijil staff of the month, sambutan hari lahir dan Imbasan Perhimpunan Bulanan 2018.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik,  Puan Norismah Ab Moin akan bersara pilihan pada bulan hadapan dan Ketua Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan, Puan Caroline Boni akan berpindah ke Kementerian Pendidikan Malaysia di atas urusan kenaikan pangkat.

Pihak Jabatan mengucapkan ribuan terima kasih, syabas dan tahniah atas sumbangan yang diberikan selama berkhidmat di jabatan ini dengan meninggalkan legasi yang cemerlang di sektor masing-masing.

Cikgu Mahmud, Jasamu Dikenang selama berkhidmat sebagai seorang pendidik anak bangsa

Berita Oleh : Ustaz Mohd Syahir bin Mohd Yussof ( Ketua Sektor Pendidikan Islam ) 

Loading

image_pdfimage_print