Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019 Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

Bersemangat : Warga Sekolah SK Layang-Layangan yang hadir dalam Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan

Labuan, 19 Januari – Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019 bertempat di Dewan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) yang telah dihadiri oleh 500 orang warga pendidikan di Labuan.

Dalam ucapan amanat, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin Saidin menzahirkan ucapan penghargaan kepada warga pendidikan, ibu bapa, komuniti masyarakat yang telah berjaya memartabatkan pendidikan dan kemenjadian anak murid di Labuan.

Pelbagai kejayaan yang telah dicapai oleh pendidikan Labuan pada tahun 2018 dan beliau berharap momentem kecemerlangan ini diteruskan lagi pada tahun 2019.

Menyentuh hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan dan mengembalikan wibawa universiti awam, tiga hala tuju yang akan menjadi kompas kepada Kementerian iaitu:

  1. Mengembalikan cinta ke dalam pendidikan (pendidikan berteraskan nilai).
  2. Ketinggian kualiti sebagai pemangkin kecemerlangan, relevensi dan keberkesanan ( peningkatan kualiti seluruh sistem).
  3. Autonomi dan akauntabiliti untuk sekolah dan universiti.

Sekolah mesti menjadi tempat yang paling selamat dan menyeronokkan. Untuk merealisasikan cita-cita ini, KPM telah memberikan penekanan khusus empat bahagian yang akan menjadi tumpuan pada tahun ini iaitu :

  1. Persekitaran dan infrastruktur – memastikan sekolah sebagai tempat yang selamat dan sejahtera, di samping lengkap dengan kemudahan asas yang diperlukan.
  2. Proses Pengajaran – Guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan.
  3. Proses Pembelajaran – berorientasikan pembelajaran (learning-centered) dan tidak lagi berorientasikan peperiksaan bagi murid tahun satu hingga tiga. Fokus pembelajaran secara didik hibur, pembelajaran abad ke 21 dan Pentaksiran Bilik Darjah.
  4. Pendidikan Inklusif – tumpuan mengurangkan kadar keciciran murid golongan OKU, B40, orang asli dan kanak-kanak tanpa dokumen.
YB Datuk Rozman menerima Anugerah Khas Bakti Tokoh Pendidikan daripada Encik Raisin Saidin

Mengenai naratif baharu amalan pendidikan, fokus dan gerak kerja KPPM 2019, warga sekolah perlu memahami dan melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam konteks sekolah bagi mencapai matlamat PPPM iaitu keberhasilan utama dalam kualiti sekolah dan kemenjadian murid.

Satu lagi fokus yang perlu dilihat adalah pembelajaran berorientasikan perkembangan iaitu mengoptimumkan kemenjadian murid dalam tempoh fasa awal persekolahan ( 6 + 3 ).

Katanya lagi, aktiviti-aktiviti pendidikan yang dijalankan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan sekolah-sekolah telah berjaya membawa peserta samada di kalangan guru dan murid untuk datang mengunjungi Wilayah Persekutuan Labuan, seterusnya membantu industri pelancongan di Pulau ini.

Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019 ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Labuan, YB Datuk Rozman bin Hj Isli.

Dalam ucapannya, YB Datuk Rozman menyeru agar warga guru di Labuan berusaha memastikan hala tuju pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia menjadi kenyataan.

Guru adalah insan yang paling dekat dengan murid, menjadi penyumbang dalam mendidik dan membangunkan manusia sebagai modal insan yang berjaya dari pelbagai aspek.

Beliau berasa bangga kerana banyak kejayaan telah dicapai oleh murid-murid dan guru-guru Labuan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Pada majlis itu, YB Datuk Rozman menerima anugerah khas Tokoh Bakti Pendidikan manakala Jurufotografi Kanan UMSKAL Encik Azri Onn Othman menerima Bakti Wartawan.

Di akhir majlis, Pelan Strategik Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2019-2025 telah dilancarkan oleh YB Datuk Rozman.

Gambar kenangan, YB Datuk Rozman, Encik Raisin Saidin bersama warga Jabatan Pendidikan WP Labuan

Loading

image_pdfimage_print