Program Jaringan – Jalinan Perkongsian Amalan Inovasi Pembelajaran (PLC-Inovasi) Bersama Institusi Pendidikan Di Negara Brunei Darussalam

SERAMAI 18 orang ahli rombongan dari Jabatan Pendidikan W.P.Labuan telah melaksanakan Program Jaringan – Jalinan Perkongsian Amalan Inovasi Pembelajaran (PLC-Inovasi) Bersama Institusi Pendidikan Di Negara Brunei Darussalam yang bermula pada 13 sehingga 15 Januari 2019.

Rombongan yang diketuai oleh Puan Khaziyati binti Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti ini, terdiri daripada  2 orang Guru Besar dan seorang Pengetua daripada Transformasi Sekolah 25 (TS25), 2 orang Pegawai Pembimbing Pakar Rakan Peningkatan Sekolah (SISC+), 10 orang guru inovatif dan seorang Penolong Pegawai Teknologi Maklumat.

Program ini merupakan program yang julung kalinya diadakan di luar negara iaitu di negara Brunei Darussalam yang telah melibatkan 4 institusi pendidikan di Brunei iaitu Sekolah Rendah Dato Basir, Sekolah Rendah Kampung Perpindahan Lambak Kanan Jalan 10, Fakulti Pendidikan Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Di dalam program ini sebanyak 11 buah stesen telah dibuka dan dikendalikan oleh guru-guru inovatif dari W.P.Labuan bagi berkongsi penciptaan inovasi mereka yang telah berjaya meningkatkan tahap pencapaian dan penguasaan murid dalam mata pelajaran-mata pelajaran yang tertentu sekaligus meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) guru-guru.

Perkongsian Amalan Inovasi Pembelajaran (PLC-Inovasi) ini diberikan kepada para pegawai Jabatan Sekolah-sekolah Brunei, barisan pensyarah universiti, guru-guru besar dan guru-guru sekolah rendah, bakal-bakal guru, pelajar-pelajar universiti dan anak-anak murid sekolah rendah di setiap institusi pendidikan Brunei yang dilawati.

Selain daripada melaksanakan perkongsian Amalan Inovasi Pembelajaran, rombongan ini juga telah berjaya menandatangani dokumen perjanjian Permufakatan Strategik dalam bidang kajian dan inovasi antara W.P.Labuan dan negara Brunei Darussalam. Melalui perjanjian ini, akan lebih banyak program Jaringan – Jalinan Perkongsian Amalan Inovasi Pembelajaran yang bermatlamatkan untuk meningkatkan tahap pencapaian dan prestasi guru dan murid di W.P.Labuan dan Brunei akan diadakan.

Menurut kata Ketua Kontinjen, Puan Khaziyati binti Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti di Jabatan Pendidikan W.P.Labuan, “Program lawatan ini merupakan satu program perkongsian yang telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Semua guru inovatif yang terlibat telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan melaluinya, Tahap Profesionalisme guru-guru inovatif ini telah dapat ditingkatkan.”.Di akhir lawatan, peserta rombongan turut berkesempatan mengadakan kunjungan ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Loading

image_pdfimage_print