SK Layang-Layangan : Program Transisi Penerapan Budaya “Love, Happiness and Mutual Respect”

Guru Besar dan barisan pentadbir merakam kenangan bersama murid Tahun 1 Sarjana. Turut sama Encik Imbran, Sarjan Rozilan dan Puan Amia.

Labuan, 18 Jan – Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan telah melancarkan Program Transisi dan Guru Penyayang 2019 yang merupakan salah satu program tahunan awal persekolahan.

Program tersebut berfokuskan kepada aktiviti-aktiviti pengenalan kepada dunia persekolahan untuk murid-murid Tahun Satu dan Prasekolah, serta pelaksanaan Dasar Guru Penyayang Kementerian Pendidikan Malaysia yang melibatkan semua guru dan murid.

Objektifnya ialah untuk melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan yang menjadi teras dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Program Transisi Prasekolah ke Tahun Satu merupakan satu program yang telah dirangka dengan tujuan untuk membantu kanak-kanak menghadapi perubahan diri dalam keadaan transisi dari pendidikan tidak formal sama ada di rumah atau pun di prasekolah ke pendidikan secara formal di Tahun Satu.

Program telah berlangsung selama 3 minggu iaitu minggu pertama ialah Perlaksanaan Minggu Orientasi diikuti dengan Minggu Pembentukan Kumpulan iaitu (Dinamika Kumpulan) dan Perlaksanaan aktiviti ke arah proses Pengajaran dan Pembelajaran.

Guru Besar dan Penolong-Penolong Kanan meraikan Simbolik Program Transisi bersama Puan Amia.

Program ini melibatkan 2 kelas iaitu Kelas Satu Sarjana dan Satu Bestari iaitu seramai 75 orang murid.

Program ini adalah bersifat membimbing ke arah alam persekolahan formal dan menekankan amalan budaya penyayang seperti yang disarankan.

Dalam ucapan alu-aluan Guru Besar, Puan Hajah Dayang Bt Hj Md Yassin menyeru semua murid untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti persekolahan, serta menasihatkan para murid untuk membantu menjadikan suasana persekolahan lebih selesa dan ceria disamping pemupukan nilai-nilai murni kepada murid-murid baharu.

Adalah diharapkan dengan adanya program ini, kanak-kanak yang datang dari pelbagai latar belakang sosio ekonomi, persekitaran dan pengetahuan akan dapat menyesuaikan diri dan bersedia meneruskan pembelajaran secara formal dan tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan dengan pembelajaran dan pergaulan terutamanya bagi murid yang tidak pernah ke kelas Tadika dan Prasekolah.

Majlis penutupan Minggu transisi 2019 ini bermula pada jam 8.00 pagi bertempat di Pusat Sumber Sekolah yang telah dirasmikan oleh En. Imbran Bin Hj. Yunus Ketua Unit Sains dan Matematik merangkap pegawai angkat SK. Layang-Layangan.

Pada majlis tersebut beliau juga turut memberi pendedahan tentang Pentaksiran Tahap 1 kepada ibu bapa dan waris murid Tahun Satu yang hadir.

Seramai 68 orang ibu bapa yang hadir pada majlis tersebut begitu teruja menyaksikan persembahan daripada murid-murid Tahun Satu sebagai memeriahkan lagi majlis.

Hadir sama ialah Puan Amia Bte Buah Ketua Unit Bahasa Jabatan Pendidikan WP Labuan.  

Sebelum itu majlis dimulakan dengan para ibu bapa mendengar Taklimat Keselamatan daripada Inspt. Rose, pegawai polis angkat sekolah diikuti dengan Taklimat 1M1S dan jQaf yang disampaikan oleh ustaz Mohd. Mokhsein Bin Nasiruddin.

Berita Oleh : SK Layang-Layangan

Sebahagian ibu bapa yang hadir pada sesi Taklimat Pentaksiran Tahap 1 

Loading

image_pdfimage_print