Hari Pembudayaan Keusahawanan SMK Labuan 2019 Cetus Minat Pelajar Berniaga

Pelajar Tingkatan Enam, Pengajian Perniagaan SMK Labuan begitu seronok dengan jualan pelbagai jenis makanan sempena Hari Pembudayaan Keusahawanan

Program Hari Pembudayaan Keusahawanan (HPK) 2019 merupakan aktiviti tahunan Unit Pengajian Perniagaan, Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan yang telah dilaksanakan sejak 2017.

Berlangsung pada 30 Januari lalu, di Galeri Kristal SMK Labuan, HPK berjaya mencetuskan minat pelajar untuk berniaga selaras dengan objektifnya iaitu mewujudkan interaksi dan perkongsian idea dalam kalangan pelajar mengenai ilmu perniagaan dan keusahawanan.

Sebanyak 29 kumpulan pengusaha gerai HPK 2019 telah berjaya menjana jualan keseluruhan sebanyak RM10,188.70

Pelajar-pelajar telah berjaya mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam mata pelajaran Pengajian Perniagaan Tingkatan Enam dan Perniagaan Tingkatan 4 dan 5 untuk menjayakan HPK ini.

Sebahagian pelajar berjaya berurusan dengan perniagaan Francais seperti “The Ais Sedap”

Sememangnya HPK berjaya mencetuskan minat pelajar untuk berniaga dan memberi kesedaran bahawa tidak perlu mencari kerja semata-mata tetapi berusaha mencipta peluang pekerjaan mereka sendiri.

Pelbagai aktiviti berunsurkan perniagaan diadakan termasuk jualan makanan, minuman, buku-buku terpakai dan pakaian terpakai.

Jualan pakaian dan tudung, alat-alat tulis serta produk kesihatan juga turut diadakan.

Encik Ismail bersama pelajar-pelajar yang berpeluang berniaga di HPK

Program telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Labuan, Encik Ismail Abdullah. Beliau berharap HPK dapat mencetuskan minat dan keinginan pelajar untuk mendalami ilmu keusahawanan serta menjadikannya sebagai alternatif terbaik bidang kerjaya selepas menamatkan pengajian sekiranya tidak mendapat peluang masuk ke pasaran pekerjaan.

Pelajar mesti menjadikan beberapa contoh usahawan berjaya sebagai inspirasi untuk mengikuti jejak mereka pada masa depan,” katanya.

HPK 2019 dikendalikan oleh Penyelaras Program Puan Noritah @Noriani Madina, selaku ketua Unit Pengajian Perniagaan bersama Pembantu Penyelaras Puan Iespary a/p Subeh (Pensyarah Pengajian Perniagaan) dan Puan Fazlinah Razali (Pensyarah Pengajian Perniagaan).

Pengarah Projek pula ialah Nur Nabilla Hartono yang juga pelajar Pengajian Perniagaan Tingkatan 6 Atas.

Puan Noritah juga mengambil inisiatif memotivasikan pelajar-pelajar dengan menghasilkan sendiri produk cokelat “Nouri’s Home Made Chocolate” dan dijual semasa HPK tersebut.

Beliau berharap agar aktiviti program itu akan diteruskan sebagai acara tahunan untuk mencetus minat para pelajar melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, dan dapat memberi gambaran betapa bidang keusahawanan sangat berpotensi serta boleh menjadi kerjaya pilihan oleh pelajar selepas tamat pengajian.

Puan Noritah di gerai Nouri’s Home Made Chocolate

Turut hadir memeriahkan program itu ialah Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan Encik Saminan Sabtu.

Berita Oleh : SMK Labuan

Loading

image_pdfimage_print