SK Sungai Bedaun dan SM Sains Labuan Johan Keseluruhan Merentas Desa MSSWPL 2019

Kontinjen Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun Meraih Johan Keseluruhan Kategori Sekolah Rendah MSSWPL 2019

LABUAN: Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun dinobatkan sebagai johan keseluruhan kategori sekolah rendah pada Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) yang telah berlangsung di Padang Majal, Kampung Pohon Batu, pada 26 Januari lalu.

Kejayaan itu diperolehi selepas SK Sungai Bedaun muncul johan berpasukan perempuan dan naib johan berpasukan lelaki.

Sekolah itu telah menghantar seramai 12 orang murid bagi menyertai larian tersebut, iaitu 6 orang murid perempuan dan 6 orang murid lelaki.

Pingat diberikan kepada 10 peserta terawal yang tiba di garisan penamat mengikut kategori masing-masing.

Peserta dari SK Sungai Bedaun telah mendapat 3 pingat bagi kategori lelaki bawah 12 tahun dan 1 pingat bagi kategori perempuan bawah 12 tahun.

Mohd Haikal Ifzan Mat Jaya mencatat nama sebagai pemenang kategori lelaki bawah 12 tahun sekaligus membawa pulang pingat emas.

Mohd Haikal Ifzan Mat Jaya

Dua lagi pingat diperolehi menerusi Pengiran Muhammad Shahrizal Pengiran Masri dan Muhammad Syihabuddin Rody yang masing-masing menduduki tempat ke-5 dan tempat ke-6.

Bagi kategori perempuan bawah 12 tahun pula, Nurul Ayuni Shaharrizal berjaya merangkul pingat perak.

Pasukan Merentas Desa SK Sungai Bedaun dikendalikan Pengurus Pasukan Mohd Aizam Abdul Rahim yang juga Penolong Kanan Kokurikulum SK Sungai Bedaun bersama Ketua Jurulatih Ustaz Mohd Azwan Saad serta jurulatih lelaki dan perempuan iaitu Ustaz Sahrum Samlan, Ustaz Muhd Satalmizi Ismail, Frederic Singan dan Puan Mariam Basir.

Sementara itu, Guru Besar SK Sungai Bedaun, Dg Sarifah A Mahmod merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua atlet yang berjaya memberikan saingan sengit kepada atlet sekolah lain di kejohanan tersebut.

Katanya, kesungguhan atlet lelaki dan perempuan terbukti apabila mereka berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 yang terbaik bagi setiap kategori.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras jurulatih dan kerjasama ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka. Semoga kejayaan ini akan menyuntik semangat warga SK Sungai Bedaun untuk melakar lebih banyak kejayaan pada tahun ini,”katanya.

Sementara itu Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) muncul juara keseluruhan untuk kali ke-9 berturut-turut Kejohanan Merentas Desa 2019 ini.

Gambar Kenangan : Kontinjen SM Sains Labuan, Johan Keseluruhan Merentas Desa 2019

Pasukan merentas desa SMSL telah dibimbing oleh jurulatih yang komited dan tegas iaitu Avila Sanis dan Azizan Ibrahim.

Menurut Avila, antara faktor SMSL dapat mengekalkan kejayaan mereka adalah kerana latihan yang konsisten dan semangat kerjasama yang tinggi antara guru dan murid yang terlibat serta kesungguhan atlet bagi mencapai kejayaan.

Tambahnya, para atlet begitu tekun menjalani latihan seawal jam 4.30 pagi sebelum sesi persekolahan dan pada jam 4.00 petang selepas waktu persekolahan setiap hari bermula 19 Januari yang lalu.

Pasukan SMSL, Johan Kategori Lelaki 15 tahun

Sementara itu, Pengetua SMSL, Haji Mahamad Shukri Said merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua atlet yang berjaya mengharumkan nama SM Sains Labuan.

Kejohanan dikelolakan oleh SMK Rancha-Rancha dan SK Pekan Dua.

Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Encik Raisin Saidin menyampaikan hadiah kepada kepada pemenang.

Turut hadir Pengetua SMK Rancha-Rancha, Omar Baki Matusin dan Guru Besar SKPD, Jaafar Matusin.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun dan SM Sains Labuan

Pasukan SMSL, Johan Kategori Perempuan 18 tahun

Loading

image_pdfimage_print