SK Sungai Bedaun Raikan Sambutan Tahun Baru Cina

Cikgu Dg.Sarifah (empat dari kiri) ceria bersama guru-guru dalam majlis RIMUP Tahun Baru Cina.

Labuan, 11 Februari : Seramai 696 orang murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) diraikan sempena Sambutan Tahun Baru Cina (TBC) peringkat sekolah yang diadakan di Dewan Permata sekolah itu pada Isnin .

Sambutan Tahun Baru Cina merupakan salah satu daripada Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang dilaksanakan dengan melibatkan semua kaum di sekolah.

SKSB mempunyai peratus murid berbangsa Cina sebanyak 1% manakala 4% di kalangan guru dan Anggota kakitangan sokongan.

Menurut Guru Besar SKSB, Cikgu Dg. Sarifah A.Mahmod, Sambutan Tahun Baru Cina peringkat sekolah diadakan dalam suasana sederhana tetapi meriah.

Ianya diharap dapat membudayakan amalan penyayang di kalangan warga sekolah seperti nilai keikhlasan, kasih sayang dan hormat menghormati.

“ Beberapa aktiviti akan dilaksanakan di peringkat panitia. Semangat hidup bersatu padu dalam sebuah masyarakat majmuk di negara ini perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi agar murid-murid dapat menghormati kaum lain dan hidup bermasyarakat dengan harmoni” katanya semasa merasmikan program RIMUP pagi tadi.

Cikgu Dg Sarifah (tengah) bersama guru-guru mengucapkan Gong Xi Fa Chai kepada semua yang meraikan Tahun Baru Cina.

Menurutnya lagi, sempena Perayaan Tahun Baru Cina ini, Panitia Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan mengadakan Pertandingan menulis Karangan berdasarkan Pengalaman Meraikan Perayaan Tahun Baru Cina.

Panitia Pendidikan Seni akan mengadakan pertandingan mewarna , melukis poster dan membuat tanglung manakala Panitia Reka Bentuk Teknologi dan Sejarah diamanahkan untuk menyediakan Sudut Perpaduan Tahun Baru Cina.

Kesemua ini merupakan Elemen Perpaduan Merentas Kurikulum yang diubahsuai mengikut Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) mata pelajaran masing-masing.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Cikgu Dg. Sarifah dengan melekatkan Puzzle Poster yang dipegang oleh 6 orang murid berbangsa Cina sebagai simbolik pelancaran.

Pengacaraan pula dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Cina yang dikendalikan oleh Cikgu Norsidah dan Cikgu Wong Lee Choo.

Majlis Pelancaran RIMUP Tahun Baru Cina disempurnakan oleh Cikgu Dg.Sarifah (tiga dari kiri) bersama Penolong-penolong Kanan.

Turut diadakan dalam majlis itu, penyampaian hadiah Kelas Kehadiran Tertinggi bagi bulan Januari 2019. 6 Mutiara telah dianugerahkan sebagai kelas kehadiran terbaik tahap 2 dengan peratusan sebanyak 98.35%. Manakala 3 Delima 97.91% dianugerahkan Kelas Terbaik Kehadiran Tahap 1.

Menurut Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Ustazah Kamariah Salim, Purata kehadiran bagi Januari adalah 95.49%.

Beliau mengucapkan syabas kepada murid-murid yang hadir setiap hari ke sekolah serta berharap agar prestasi ini akan berterusan.

Katanya lagi, kerjasama yang bersungguh-sungguh daripada guru kelas dengan mewujudkan “Group Whats up kelas” kepada ibu bapa telah memberi kesan positif terhadap peratusan kehadiran ini.

Dalam majlis itu juga, semua murid telah menerima limau mandarin yang disampaikan Cikgu Rina Farrina binti Dakim, Penolong Kanan Pentadbiran, Ustazah Kamariah Salim, Penolong Kanan HEM dan Cikgu Mohd. Aizam Abd.Rahim, Penolong Kanan Ko Kurikulum.

Cikgu Dg. Sarifah mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang telah menyumbangkan limau dan menyediakn jamuan sempena majlis itu.

Cikgu Dg. Sarifah menyampaikan sijil kepada ketua kelas 3 delima yang berjaya mencapai peratus tertinggi kehadiran bulan januari bagi tahap 1

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Loading

image_pdfimage_print