Pengarah BPSH Sertai Program Ziarah Cakna SMK Labuan

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM, Encik Mohd Jamil bersama rombongan

Labuan, 25 Februari : Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan Malaysia, Encik Mohd Jamil Mohamed berkesempatan untuk turut serta dalam Program Ziarah Cakna SMK Labuan di dua buah rumah terpilih di Labuan pada 22 Februari lalu.

Beliau diiringi oleh Tuan Haji Pesol Md Saad, Timbalan Pengarah BPSH, Encik Raisin Saidin, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan WP Labuan, Ketua-ketua Sektor, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri seluruh Malaysia dan Encik Ismail Abdullah, Pengetua SMK Labuan.

Program Ziarah Cakna ini bertujuan memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dan ibu bapa serta penjaga.

Objektif program ialah berkongsi kemenjadian diri murid bersama-sama ibu bapa / penjaga, memahami latar belakang keluarga murid dan berkongsi pandangan antara ibu bapa/penjaga dengan guru bagi mengembangkan potensi murid.

Guru sebagai seorang yang memiliki sifat kepedulian, bertanggungjawab dan penyayang terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan muridnya.

Encik Ismail ketika memberi taklimat Ziarah Cakna SMK Labuan kepada rombongan BPSH

Rumah pertama yang dikunjungi iaitu rumah pasangan seorang buruh Encik Abdul Rajit bin Zakaria dan Puan Erni Embaran yang tinggal di Kampung Saguking. Anaknya Abdul Rashid bin Abdul Rajit merupakan murid tingkatan 2 di SMK Labuan.

Rumah kedua yang terpilih pada kali ini ialah rumah Encik Ramlan bin Gapor seorang peniaga burger dan isteri Siti Norimah Suhaili yang tinggal di kampung Patau-Patau Satu.

Anak pasangan tersebut, Mohamad Aniq Aqlan bin Ramlan merupakan murid tingkatan 1 di SMK Labuan.

En Mohd Jamil Mohamed mengucapkan tahniah kepada SMK Labuan kerana berjaya merancang dan melaksanakan Program Ziarah Cakna dengan teratur.

Harapan beliau agar guru-guru memberi perhatian kepada setiap murid walaupun berlainan latar belakang, kebolehan, kelemahan dan kekuatan.

Slogan SMK Labuan iaitu “Setiap Murid Bernilai” sangat bertepatan dengan matlamat Program Ziarah Cakna ini.

Encik Mohd Jamil menyampaikan hamper kepada keluarga Encik Abdul Rajit

Sementara itu Encik Raisin Saidin Pengarah Jabatan Pendidikan berharap sasaran SMK labuan menziarahi 65 orang muridnya dalam program ini tercapai.

‘Pihak sekolah hendaklah melakukan tindak susul ke atas murid yang dilawati. Misalnya dengan menjadikan murid tersebut sebagai anak angkat kepada guru dan guru angkat ini akan memantau perkembangan murid ini sehingga tamat persekolahan di SMK labuan”, tambah Encik Raisin Saidin lagi.

“Selain itu, saya juga berharap agar sekolah-sekolah lain di WP Labuan menetapkan KPI bilangan murid yang dilawati”.

Untuk Rekod, Program Ziarah Cakna peringkat kebangsaan termasuk Wilayah Persekutuan Labuan telah dilancarkan pada 28hb Januari 2019 (Program Ziarah Cakna Perluas Konsep Sekolah Penyayang)

Encik Raisin Saidin menyampaikan hamper kepada keluarga adik Mohd Aniq Aqlan

Sumber Berita : SMK Labuan

Loading

image_pdfimage_print