Ziarah Cakna Eratkan Kemesraan Warga Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun

Adik Rafy (duduk di tengah) ketika diziarahi oleh Cikgu Dg. Sarifah (duduk dari kiri) bersama rombongan dalam Program Ziarah Cakna .Turut kelihatan En Aswadee Ahok dan Pn. Zurinah Matali kedua ibubapa Rafy

Labuan : Kelab Guru dan Kakitangan Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) yang diketuai oleh Guru Besar, Cikgu Dg. Sarifah Binti A.Mahmod mengadakan Ziarah Cakna bagi menyantuni  keluarga adik Rafy bin Aswadee tahun 3 Delima pada 22 Februari lalu .

Adik Rafy mengalami patah tangan kiri dan kini masih dalam rawatan pihak hospital. Tangan adik Rafy yang telah disimen terpaksa dibuka semula kerana beliau sering mengadu sakit dan berasa tidak selesa.

Menurut Cikgu Dg. Sarifah, Ziarah Cakna ini diadakan sebagai satu tanggungjawab insani di kalangan warga sekolah untuk mengeratkan hubungan kemesraan.

Disamping itu, sikap kepedulian kita terhadap orang yang dilanda musibah diharap dapat memberi sinar kegembiraan kepada mereka.

Tambahnya lagi, Ziarah Cakna yang dilakukan adalah bagi memperluaskan konsep sekolah penyayang dan memperkukuhkan hubungan antara sekolah dengan ibu bapa, penjaga dan murid.

“Sebelum ini, program ziarah yang dilakukan oleh pihak sekolah hanya bertujuan untuk menziarahi rumah murid bermasalah dan dilanda musibah tetapi dalam konteks baharu, kita mahu mengetengahkan nilai saling hormat, nilai berterima kasih serta budaya kasih sayang di kalangan warga sekolah. Kita harap agar program ini menjadi budaya di SKSB”. Katanya ketika dihubungi selepas Program Ziarah Cakna.

Puan Zurinah Matali (dua dari kanan) ibu Rafy kelihatan ceria menerima kunjungan Dg. Sarifah bersama rombongan.

Mengulas lanjut, Cikgu Dg. Sarifah berkata, Program Ziarah Cakna SKSB, akan menjadi pentas bagi guru, ibu bapa dan komuniti berkongsi perkembangan menyeluruh berkaitan murid dan kakitangan sekolah dalam memahami latar belakang keluarga mereka dan berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian murid dan kecemerlangan sekolah.

“Maklumat seperti ini amat penting dihayati dalam membina asas bagi meningkatkan pembangunan diri, sahsiah dan kecemerlangan sekolah” katanya lagi.

Beliau berkata, program itu di harap akan membuka ruang bagi warga sekolah untuk lebih mendalami tingkah laku dan merasai denyut kehidupan murid sama ada yang dalam kesusahan mahupun dilanda musibah.

Turut sama dalam program ziarah cakna ialah Penolong Kanan HEM, Ustazah Kamariah Salim, Penolong Kanan Pentadbiran, Pn Rina Farrina binti Dakim,Pn. Norsidah – Guru Bimbingan dan Kaunseling,  Guru kelas 3 Delima serta ahli jawatankuasa tertinggi Kelab Guru dan Kakitangan Bukan Mengajar , SKSB.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Loading

image_pdfimage_print