Jasamu Dikenang, Puan Chan Kwi Fong, Mantan Pengetua SM St Anne

Jasamu dikenang ! Puan Chan Kwi Fong, mantan Pengetua SM St Anne (lima dari kanan)

Labuan, 4 Mac : Mantan Pengetua Sekolah Menengah St. Anne, Puan Chan Kwi Fong telah bersara pilihan pada 1 Mac 2019, setelah hampir 30 tahun menabur bakti dalam dunia pendidikan.

Anak kelahiran Perak ini, Puan Chan Kwi Fong memulakan karier sebagai seorang guru biasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hua, Miri Sarawak bermula 4 Disember 1989.

Setelah 6 tahun berkhidmat di Sarawak, beliau berhijrah dan meneruskan langkah sebagai seorang pendidik ke Pulau Mutiara Wilayah Persekutuan Labuan pada 1 Januari 1996 di Sekolah Menengah St. Anne.

Beliau telah dipertanggungjawabkan sebagai Penolong Kanan Pentadbiran di sekolah yang sama pada 17 Mac 1997.

Seterusnya, Puan Chan Kwi Fong telah diamanahkan menjadi seorang Pengetua, juga di Sekolah Menengah St. Anne pada 1 Mac tahun 2008, sehinggalah beliau bersara pilihan di usia 57 tahun.

Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Wilayah Persekutuan Labuan telah mengadakan jamuan persaraan Puan Chan Kwi Fong pada 3 Mac 2019 di sebuah hotel di Labuan.

Majlis dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin, Pengarah Kolej Vokesional Labuan, Puan Hjh Siti Musliha binti Hj Leeudin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik, JPWPL Encik Yusop bin Mohamad, YDP MPSM, Encik Ismail bin Abdullah (Pengetua SMK Labuan), Timbalan YDP MPSM Encik Mohd Jamatin bin Abd. Latip (Pengetua SMK Lajau) dan para pengetua sekolah di Labuan.

Puan Chan (kiri) diraikan oleh MPSM WP Labuan

Dalam ucapan aluan YDP MPSM Encik Ismail bin Abdullah, melahirkan harapan agar Puan Chan sentiasa sihat dan bergembira dalam alam persaraan.

Puan Chan dalam ucapan balasnya, mengucapkan ribuan terima kasih kerana MPSM mengadakan majlis yang cukup bermakna bagi beliau dan terima kasih juga kepada Encik Raisin Saidin kerana sudi hadir dalam majlis berkenaan.

Sementara itu, Encik Raisin Saidin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Puan Chan kerana telah menyumbang bakti kepada kecemerlangan pendidikan di Labuan amnya hingga ke akhir perkhidmatan. Semoga terus diberi kekuatan dan kesihatan.

Tahniah Puan Chan yang telah meninggalkan SM St Anne pada landasan yang baik untuk terus cemerlang. Selamat Bersara Puan Chan, Terima Kasih Cikgu, Jasamu Dikenang. Encik Raisin Saidin

Seluruh warga pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan “Selamat Bersara kepada Puan Chan Kwi Fong, Terima Kasih Cikgu !”.

YDP MPSM Labuan, Encik Ismail menyampaikan cendera kenangan kepada Puan Chan

Sumber Berita : Encik Mohd Jamatin bin Abd. Latip (Pengetua SMK Lajau)

Loading

image_pdfimage_print