SK Sungai Bedaun Meterai MOC Kolaboratif Strategik Pengurusan PIBK

Dg. Sarifah Binti Hj. A. mahmod ,Guru Besar Sk. Sungai Bedaun(duduk dari kiri) dan En. Doss@George Elang , Yang DiPertua Majlis Guru Besar Kota Marudu (duduk dari kanan) menandatangani memorandum Persefahaman Kolaboratif Startegik Pengurusan PIBK

Labuan, 11 Mac : Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) telah menandatangani Memorendum Persefahaman Kolaboratif  Strategik (MOC) dengan Majlis Guru Besar, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu mengenai Kolaboratif Startegik Pengurusan Penggerak Ibu bapa dan Komuniti (PIBK).

Dengan termeterainya memorendum pada 6hb Mac 2019 ini, kedua-dua pihak  akan saling berkongsi ilmu dan bertukar pandangan ke arah pemantapan Pengurusan PIBK di tempat masing-masing.

Menurut Guru Besar SKSB, Cikgu Dg. Sarifah A.Mahmod, SKSB amat menitik beratkan penglibatan PIBK dalam membantu pihak sekolah  membina ekosistem pendidikan yang dinamik. Beliau merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada PIBK yang diterajui oleh Pn Wiwik Iswandari Binti Sudirman di atas komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada SKSB.

“ Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, anjakan yang kesembilan, telah  memberikan  penekanan  terhadap  penglibatan  ibu  bapa,  komuniti  dan  pihak  swasta  dalam  memperkasakan  sekolah. Perkongsian  tanggungjawab antara ibu  bapa, komuniti  dan sekolah merupakan satu inisiatif  utama dalam mewujudkan suasana pembelajaran  yang berkualiti untuk  murid-murid”. katanya semasa berucap mengalu-alukan kehadiran rombongan.

Mengulas lanjut, Dg. Sarifah berkata kecemerlangan sekolah dan kemenjadian anak-anak di SKSB adalah hasil kolaborasi di antara PIBK dengan pihak sekolah. Sumbangan sama ada wang ringgit mahupun tenaga dan buah fikiran amat dihargai. Ibu bapa sanggup datang pada waktu cuti untuk menceriakan sekolah malah turut menyediakan makanan untuk murid-murid yang mengikuti latihan sukan dan pertandingan. Kerjasama inilah yang telah menjadikan SKSB dinobatkan sebagai PIBK Contoh  dan diberi Penganugerahan 5 Bintang Peringkat Kebangsaan Tahun 2018.  

Rombongan Majlis Guru Besar Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu  seramai 22 orang ini diketuai oleh En Doss@George Elang, Yang DiPertua Majlis Guru Besar Daerah Kota Marudu juga disertai oleh 22 orang Guru Besar.

Rombongan Penanda Aras dan Kongsi Ilmu MGB Kota Marudu

Ketibaan rombongan tersebut telah disambut dengan paluan kompang dan  persembahan gimnasrada yang merupakan tarikan baru di SKSB. Seramai 60 orang murid terlibat dalam persembahan ini. Mereka  terdiri daripada murid-murid tahun 1 hingga 6 yang dipimpin oleh Cikgu Norlisa Binti Rusly, Guru Pendidikan Jasmani SKSB dengan kerjasama PIBK. Mereka turut melihat persembahan kulintangan yang dimainkan oleh murid-murid tahun 5 dan 6.

Sesi lawatan di SKSB turut meninjau Bilik Gerakan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), 3 buah kelas Pra sekolah, Galeri Permata dan Taman Herba. Terdapat sebanyak 20 jenis herba yang ditanam oleh murid-murid dan juga guru. Melalui Project Base Learning (PBL) iaitu kolaboratif di antara panitia dan PIBK, Produk 3 Sekawan yang terdiri daripada ramuan serai wangi, daun limau perut dan daun sambung berjaya dihasilkan. Adalah diharapkan agar produk ini dapat menjana sumber kewangan untuk tabung PIBG sekolah.

Rombongan telah diiringi oleh Puan Zaliha Salleh selaku pegawai yang bertanggung-jawab membimbing Penggerak Ibu bapa dan Komuniti (PIBK) di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL), Encik Muhammad bin Pindut selaku Pegawai Angkat SKSB serta En Jaafar Bin Matusin, Yang DiPertua MGB WPL turut hadir guru-guru besar sekolah sekolah di W.P. Labuan.

Semoga Lawatan Penanda Aras ini mampu memberi lonjakan inspirasi untuk Pengurusan PIBK kedua-dua pihak.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Kenangan : Lawatan MGB Kota Marudu ke Taman Herba SKSB

Loading

image_pdfimage_print