Jentayu Cipta Hatrik, Pertahan Kejuaraan Sukan Olahraga SK Sungai Bedaun

Atlet sedang bersedia untuk acara lari pecut 200 meter

Kejohanan Sukan Olahraga Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) kali ke 17 telah diadakan pada 3 Mac lalu di  Kompleks Sukan Labuan.

Sebanyak 28 acara telah dipertandingkan iaitu lari pecut 100 meter (m), 200m, 400m, 4 x 100m dan 4 x 200m kategori lelaki dan perempuan.

Larian comel 80 meter turut diadakan untuk memberi peluang kepada murid yang lebih berat badan (melebihi 50 kg) berlari di track.

Bagi memeriahkan Kejohanan Sukan Olahraga, pihak sekolah turut mengadakan acara terbuka larian 50 meter untuk golongan ibu manakala 100 meter untuk golongan bapa.

Pembukaan kejohanan sukan sekolah tahun ini telah diadakan pada 28 Februari lalu di Padang SKSB. Enam acara padang telah dipertandingkan  iaitu acara lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru kategori lelaki dan perempuan.

Membuka tirai kejohanan Sukan Olahraga Kali ke 17 pada tahun ini ialah Lintas hormat peserta perbarisan kontingen rumah Rumah Jentayu, Cenderawasih, Kasawari dan Garuda Seramai 33 orang peserta perbarisan mewakili setiap rumah sukan.

Kontingen Perbarisan Rumah Kasawari segak bergaya untuk membuat perbarisan lintas hormat.

Penonton turut teruja melihat persembahan Gimnasrada iaitu sukan yang julung kalinya diperkenalkan di SKSB.

Seramai 60 orang murid terlibat dalam persembahan ini. Mereka  terdiri daripada murid-murid tahun 1 hingga 6 yang dipimpin oleh Cikgu Norlisa Binti Rusly, Guru Pendidikan Jasmani SKSB dengan kerjasama PIBK.

Dalam ucapan aluannya Guru Besar SKSB, Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod, mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua ahli jawatankuasa yang menjayakan kejohanan Sukan Olahraga SKSB tahun ini dengan kerjasama yang sangat baik di bawah bimbingan Penolong Kanan Kokurikulum iaitu Encik Mohd Aizam Bin Abdul Rahim.

“Sesungguhnya kejayaan kejohanan sukan pada tahun ini adalah hasil  sokongan, kerjasama padu oleh semua guru, kakitangan sekolah, ibu bapa dan alumni SKSB yang bergabung tenaga membentuk jawatankuasa yang mantap selain bantuan dari pihak luar seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Labuan. Semoga Kejohanan Sukan Olahraga  tahun ini menjadi suntikan semangat kepada wakil olahraga SKSB untuk terus bersaing secara sihat dalam setiap acara yang dipertandingkan. Kita berdoa agar atlet SKSB dapat membawa kilauan emas untuk sekolah dalam Majlis Sukan Sekolah Peringkat Negeri  (MSSWPL) nanti”. Katanya ketika memberikan kata alu-aluan dalam majlis tersebut.

Adik Mohammad Shahril bin Azlan, Olahragawan dan adik Nur Khairunnisa Najwa binti Abdullah Mohd Yusof, Olahragawati Tahun 2019 bergambar bersama Awang Zain bin Awang Anak (3 dari kanan), En Mohamad bin Pindut (kiri), Dg.Sarifah (dua dari kanan) dan Wiwik (kanan)

Mengulas lanjut Dg.Sarifah berkata, kejohanan olahraga ini bukanlah semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara yang dipertandingkan. Perkara yang lebih penting ialah kejohanan ini memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada murid-murid dan atlet bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.

Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan yang berterusan. Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat-menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi.

Johan Keseluruhan Sukan Olahraga tahun 2019 telah disandang oleh Rumah sukan Jentayu (merah) yang memperoleh  18 pingat emas.

Ahli Rumah Jentayu gembira meraikan kemenangan 3 tahun berturut- turut dalam Kejohanan Sukan Olahraga SKSB

Diikuti oleh rumah sukan Cenderawasih (kuning) dengan memperoleh 15 pingat emas, tempat ketiga di sandang oleh rumah sukan Kasawari (biru) dengan memperoleh 9 pingat emas manakala rumah sukan  Garuda (hijau) menduduki tempat keempat dengan kutipan 6 pingat emas.

Johan Perbarisan pula telah disandang oleh rumah sukan Garuda.

Adik Mohammad Shahril bin Azlan yang memperoleh 3 emas bagi acara 100m, 200m dan 80m berpagar telah dinobatkan sebagai Olahragawan Tahun 2019 manakala adik adik Nur Khairunnisa Najwa binti Abdullah Mohd Yusof yang memperoleh 3 emas dalam acara  100m, 200m dan  80m berpagar dinobatkan sebagai Olahragawati.

Kejohanan Sukan  Olahraga Kali Ke 17 tahun 2019 telah dirasmikan oleh En Awang Zain bin Awang Anak, Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (Jpwpl). Turut hadir ialah En Mohamad bin Pindut, Pegawai Angkat SKSB, Sarjan Fam Siat Ling, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), En Rosmani bin Putih, Ketua Kampung Sungai Bedaun.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar semua murid terus bergiat aktif dalam bidang sukan bagi melahirkan lebih ramai pelapis sukan dalam acara olahraga terutamanya sebagai pengganti para atlet yang ada pada masa kini.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Ahli-ahli Rumah Cenderawasih bersama guru mengabdikan gambar kenangan seusai Kejohanan Sukan Olahraga 2019 .

Loading

image_pdfimage_print