Audrey Pelajar Terbaik SPM 2018 Labuan

Ismail, Hj Md Yusof, Cheah dan Zalina bersama pelajar-pelajar SMKL yang mendapat 6A ke atas

Pelajar SMK Labuan, Audrey Agang Teo Li Xin telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM 2018 WP Labuan setelah mencapai 10A dalam SPM iaitu 9A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Muzik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi, serta mendapat A dalam Pendidikan Moral.

Audrey kini menetap bersama keluarga di WP Labuan, ayahnya David Agang Teo Chuan Fook, berasal dari Kuala Penyu, bekerja sebagai  Head – Base Operations/Business Development of Asian Supply Base, dan ibunya Janet Moh Kiew Yen berasal dari WP Labuan, bekerja sebagai Assistant Manager – Asset Management.

Anak kedua daripada tiga orang adik beradik ini bersekolah di SJK (C) Chung Hwa WP Labuan dan telah mencapai 5A 1B 1C dalam UPSR. Seterusnya Audrey bersekolah di SMK Labuan dan telah mencapai 9A dalam PT3 pada tahun 2016.

Berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan  dan bercita-cita menjadi seorang doktor, Audrey mempunyai kegemaran membaca novel dan komik.  

Audrey merakamkan ucapan terima kasih kepada pengetua dan semua guru yang telah mendidiknya dengan penuh dedikasi serta sentiasa berusaha tanpa lelah untuk membantunya mencapai kejayaan dalam SPM,  juga kepada kedua ibu bapa serta keluarga yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan untuk belajar dengan lebih tekun.

Seramai 7 orang  pelajar SMK Labuan telah berjaya mencapai semua A dalam SPM 2018. Ini merupakan 50% daripada jumlah 14 orang murid cemerlang SPM seluruh WP Labuan. Mereka ialah Janice Su Shi Fen (8A+, 2A), Yap Joewin (8A+, 1A, 2A-), Tan Xuan Jie (7A+, 3A, 2A- ), Belle Tan Bei Er (6A+, 3A, 2A- ), Wynette Clarissa Liew Chea Chyee (3A+, 6A, 1A- ) dan Jayne Carey Wong (2A+, 5A, 3A- ).

Jumlah pelajar cemerlang ini meningkat berbanding 4 orang pada 2017.

Pengetua SMK Labuan Encik Ismail Abdullah mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya, serta ucapan penghargaan dan terima kasih kepada PIBG yang sentiasa memberi sokongan dan bantuan dalam pelaksanaan program-program akademik.

Encik Ismail dan Pelajar Terbaik SPM 2018, Audrey Agang

Bilangan murid yang ramai menyebabkan sekolah perlu menyusun strategi untuk memenuhi matlamat membantu dan membimbing pelajar mengikut keupayaan masing-masing.

Selain daripada tumpuan kepada pelajar cemerlang, sekolah juga memberi tumpuan kepada kumpulan murid sederhana dan lemah untuk meningkatkan peratus penguasaan minimum.

Encik Ismail juga berharap jumlah pelajar yang layak melanjutkan pelajaran ke program Matrikulasi, Diploma dan Tingkatan Enam akan meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya. 

Pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik dari segi pencapaian akademik juga akan dibantu dari segi khidmat nasihat tentang peluang-peluang yang boleh diceburi selepas ini berdasarkan potensi masing-masing kerana warga SMK Labuan sentiasa berpegang kepada slogan “Setiap Murid Bernilai”

Berita Oleh : SMK Labuan

Loading

image_pdfimage_print