Mesyuarat Agung PIBG SK Patau-Patau Medan Perkukuh Hubungan Ibu Bapa dan Sekolah

Ibu bapa yang hadir dalam Mesyuarat Agung PIBG 2019 SK Patau-Patau

Labuan, 17 Mac : Sekolah Kebangsaan Patau-Patau (SKPP) telah mengadakan mesyuarat agung PIBG bertempat di Dewan Terbuka SK Patau-Patau.

Mesyuarat kali ini dirasmikan oleh Pegawai Angkat Sekolah, Encik Sazali bin Dinin selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Encik Raisin bin Saidin.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Guru Besar SKPP, Encik Abdul Rahman bin Salim dan YDP PIBG SKPP, Encik Mohd Nizam bin Yasim.

Di dalam ucapan perasmian, Encik Sazali menekankan bahawa sekolah adalah milik masyarakat dan berharap agar hubungan ibubapa dan pihak sekolah sentiasa kukuh bagi menjamin kualiti sekolah dan kemenjadian anak-anak murid SKPP.

Dalam ucapan Guru Besar, beliau turut berkongsi dasar dan perkembangan semasa pendidikan serta hala tuju sekolah untuk tahun 2019.

Selain itu beliau turut memaklumkan SKPP menyasarkan semua murid mampu mencapai penguasaan minimum (MTM) dalam UPSR tahun ini.

Pelbagai acara sampingan diadakan sempena mesyuarat kali ini. Antaranya ceramah berkaitan kepentingan saringan kesihatan dalam kalangan murid oleh Dr. Nur Anisah binti Hassan, pegawai perkhidmatan kesihatan sekolah dari Jabatan Kesihatan W.P.Labuan.

Di samping itu, PIBG juga menganjurkan program BELI & SUMBANG kertas A4 untuk kegunaan sekolah. Acara jualan amal pakaian terpakai untuk pembiayaan pembelian PA System baharu turut diadakan.

Encik Rahman bersama ibu bapa : Program Beli dan Sumbang

Kehadiran ibubapa dalam mesyuarat kali ini juga agak menggalakkan dan mencapai sasaran sekolah. Beberapa keputusan penting telah dicapai antaranya kadar sumbangan ibubapa kepada tabung PIBG bagi tahun 2019 dan hal-hal berkaitan kebajikan dan keselamatan murid.

Pada tahun ini tiada pemilihan Ahli Jawatankuasa baharu dijalankan. YDP PIBG bagi sesi 2018/2020, Encik Mohd Nizam berharap agar hubungan kukuh antara sekolah dan ibubapa dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa demi anak-anak di Wilayah Persekutuan Labuan.

Berita Oleh : SK Patau-Patau

Loading

image_pdfimage_print