Menyantuni Cakna Budaya Sekolah Penyayang : Mesyuarat Agung PIBG SK Layang-Layangan

Merakam kenangan bersama AJK PIBG 2019/2020

SK Layang-Layangan WP. Labuan telah mengadakan mesyuarat Agung PIBG bagi melantik Majlis Tertinggi  untuk tahun 2019/2020 yang dilaksanakan pada 16 Mac 2019 bertempat di Dewan Surapit SK Layang-Layangan.

Mesyuarat kali ini dirasmikan oleh En. Embran bin Yunus, Penolong Pengarah Sains dan Matematik JPN WP. Labuan merangkap Pegawai Angkat Sekolah,  selaku wakil rasmi Pengarah Pendidikan, Encik Raisin bin Saidin.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Guru Besar SK. Layang-Layangan, Puan Hajah Dayang @ Saidah Bte Hj. Mohd. Yassin, YDP PIBG SKLL Encik Roziman Bin Hj. Sabtu dan Insp. Rose @ Norhashimah Binti Soumin Pegawai Perhubungan Polis Sekolah, Penolong-Penolong Kanan, ibu bapa dan guru-guru.

Dalam ucapan perasmiannya, Encik Embran menekankan tentang perlunya ibu bapa memahami konsep Pentaksiran Bilik Darjah khususnya bagi murid Tahap 1 bagi menjamin kualiti pentaksiran sekolah dan kemenjadian anak-anak murid SKLL.

Beliau turut memuji perjalanan mesyuarat ini yang beliau sifatkan  sebagai professional, teratur dan menunjukkan tertib pemilihan AJK PIBG yang baharu.

Beliau mengucapkan syabas dan tahniah atas kepimpinan Guru Besar dan yakin bahawa sekolah ini akan terus cemerlang dalam pelbagai bidang dengan adanya sokongan padu daripada ibu bapa yang berterusan.

Begitu juga harapan beliau terhadap kepimpinan PIBG yang baharu agar dapat menambahbaik lanskap kemenjadian dan keberhasilan murid-murid sekolah ini.

Sebelum itu Guru Besar selaku penasihat persatuan ini dalam ucapannya mengingatkan semula tentang fungsi dan peranan PIBG, KSIB, PIBKS dan SdK di sekolah serta memperlihatkan kejayaan-kejayaan yang telah diperolehi oleh sekolah ini khususnya dalam Pelibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) yang mana SK. Layang-Layangan telah diiktiraf sebagai Johan Pertandingan Pameran PIBK dan juga menerima pengiktirafan sebagai  Sekolah Cemerlang PIBK peringkat negeri 2018.

Guru Besar menyampaikan cenderahati kepada perasmi

Manakala beliau sendiri turut dinobatkan sebagai “Tokoh Guru Besar Inspirasi PIBK 2018” peringkat negeri.

Beliau juga berkongsi dasar dan amalan-amalan terbaik PIBK di sekolah ini sebagai contoh keterlibatan murid-murid Maahad Tahfiz Marinding dalam program Kem Bestari Solat dan Tasmiq.

Pelibatan ahli-ahli akademik menyumbang kepakaran ilmu dalam subjek Matematik dan Bahasa Inggeris juga kesungguhan ibu bapa mencantik dan menghiaskan kelas-kelas telah memberi  Impak kepada sekolah dan mendapat Naib Johan pertandingan Kelas dan Sekolah Ceria, menerima piala pusingan dan rm 500 daripada Tuan Pengarah Pendidikan WP. Labuan.

SK. Layang-Layangan juga telah mendapat anugerah pengurusan BOSS Cemerlang 4 Bintang yakni pengurusan Buku Teks daripada Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini.

Beliau berharap dan mengajak semua ibubapa melibatkan diri dalam menceriakan lanskap sekolah memandangkan sekolah ini tercalon untuk pertandingan 3K dan Sekolah Lestari – Anugerah Alam Sekitar pada tahun ini.

Disamping itu beliau juga menyentuh tentang perkembangan semasa dalam pendidikan serta hala tuju sekolah ini bagi tahun 2019 dengan pelbagai program dan intervensi bagi mencapai peningkatan UPSR tahun ini.

Beliau juga mengalu-alukan kehadiran ibu bapa ke sekolah dan melebarkan konsep sekolah penyayang dan keterbukaan kepada ibu bapa kerana sekolah adalah milik masyarakat dan berharap lebih ramai dari kalangan ibu bapa dan komuniti akan turut serta dalam “Hari Keusahawanan” yang bakal berlangsung April nanti dan juga majlis ‘Opening Ceremony Bilik PIBKS”.

Kehadiran ibubapa dalam mesyuarat kali ini juga menggalakkan dan melebihi sasaran sekolah. Ibu bapa juga bermurah hati menyediakan juadah untuk mesyuarat ini.

Guru Besar menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada En. Jumali Bin Kastari YDP PIBG

Beberapa keputusan penting telah dicapai antaranya kadar sumbangan ibubapa kepada tabung PIBG bagi tahun 2019 dan hal-hal berkaitan kebajikan dan keselamatan murid. Juga mesyuarat memutuskan kepada mana-mana ibu bapa yang tidak dapat hadir ke mesyuarat Agung PIBG dikehendaki membayar  rm 10 sebagai “Wang Ihsan Pengganti Diri” kerana ketidak hadiran mereka.

Pada mesyuarat ini juga ibu bapa setuju untuk sama-sama menjayakan “Program Ziarah Cakna” iaitu lawatan guru-guru ke rumah murid-murid.

Ziarah Cakna ini bagi memperluas konsep sekolah penyayang dan memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa, penjaga dan murid-murid yang dijalankan sepanjang tahun ini. 

Amalan ziarah guru ke rumah pelajar terpilih adalah untuk menyantuni golongan ibu bapa atau penjaga mereka dan memahami latar belakang keluarga mereka serta berkongsi pandangan bagi memastikan kemenjadian murid.

Sebelum itu pemilihan AJK baharu telah dijalankan oleh En. Ismail Bin Abdul Hamid selaku pengerusi sementara. YDP PIBG bagi sesi 2019/2020 ialah Encik Jumadi Bin Kastari, NYDP Encik Mohd. Shahredzuan Bin Salleh, Cikgu Nur Alif Syafina selaku setiausaha dan Puan Murnie Binti Mohd. selaku naib Setiausaha dan Cikgu Norlinda Paman selaku Bendahari. 

Selaku YDP PIBG Encik Jumadi berharap agar hubungan kukuh antara sekolah dan ibubapa yang sedia terjalin dapat dijaga demi kemenjadian dan keberhasilan anak-anak di SK. Layang-Layangan khususnya dan di W.P.Labuan amnya.

Berita Oleh : SK Layang-Layangan

Loading

image_pdfimage_print