Cikgu Louis Pulong Galas Cabaran Pertandingan Video Pendek PAK21 Peringkat Kebangsaan

Cikgu Louis(kanan) dalam penggambaran video pendek PAK21 kebangsaan

Penyertaan penulisan esei dan video pendek tentang Pembelajaran Abad Ke-21(PAK21) mata pelajaran Sejarah Tahun 4 bertajuk Zaman Prasejarah telah memberi tuah kepada Cikgu Louis Pulong dari SK Kerupang kerana terpilih menduduki 10 senarai teratas peringkat kebangsaan.

Susulan itu, pihak Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) telah berkunjung ke SK Kerupang untuk membuat penggambaran penuh sesi PdPc bagi menghasilkan video dokumentari yang akan dikongsikan sebagai inspirasi kepada guru-guru di seluruh Malaysia.

Video tersebut juga akan dinilai bagi menentukan pemenang pertandingan PAK21 ini.

Selain itu video tersebut akan turut ditayangkan semasa majlis penutupan kempen PAK21 yang dijangka akan diadakan pada April nanti.

Sesi penggambaran pada 18 Mac lalu dilakukan oleh 13 krew profesional dari syarikat World Communications Network Resources yang telah dilantik oleh PADU.

Penggambaran melibatkan 35 murid yang dibimbing oleh Cikgu Louis. Sesi penggambaran telah berjalan lancar bermula jam 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.

Antara aktiviti menarik semasa sesi penggambaran PdPc tersebut ialah simulasi ekskavasi arkeologi untuk mendapatkan bukti tinggalan sejarah bagi empat zaman masyarakat prasejarah.

Tapak ekskavasi telah direka khas oleh Cikgu Louis. Tinggalan sejarah bagi setiap zaman ditanam menggunakan warna tanah yang berbeza bagi memudahkan murid membuat perbandingan zaman kewujudan tinggalan  masyarakat prasejarah. Tapak ini telah bertindak sebagai sebahagian dari Bahan  Bantu Belajar (BBB) bagi memudahkan proses PdPc yang melibatkan simulasi kaedah arkeologi itu.

Cikgu Louis telah berjaya menerapkan elemen komunikasi, kolaborasi, kreativiti, pemikiran kritis serta nilai dan etika dalam aktiviti sepanjang penggambaran tersebut sesuai dengan saranan PAK-21. Murid-murid juga telah menunjukkan sifat ingin tahu dan keberanian yang tinggi.

Ini menjadi bukti bahawa pelaksanaan PdP yang terancang dan tersusun oleh Cikgu Louis berjaya menarik minat murid untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah.

Di akhir sesi penggambaran, Cikgu Louis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan penggambaran pada hari tersebut. Tambahnya lagi, kejayaan terpilih antara 10 terbaik peringkat kebangsaan bukan mudah dan amat bermakna baginya pada usia perkhidmatan yang baru mencecah 1 tahun.

Pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL)  berharap agar Cikgu Louis Pulong akan berjaya dalam pertandingan ini dan mengharumkan nama Wilayah Persekutuan Labuan di peringkat yang lebih tinggi.

Berita Oleh : Cikgu Mohd Nizam Yasim

Penggambaran video pendek turut melibatkan murid-murid Sekolah Kebangsaan Kerupang

Loading

image_pdfimage_print