Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang Melakar Sejarah Penganjuran LIGuM2019

LABUAN, 4 April – Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi sekolah pertama di Wilayah Persekutuan Labuan menganjurkan program berbentuk pendidikan santai, Lubok Ilmu Guru dan Murid (LIGuM2019) Edisi 1. LIGuM2019 yang bertemakan Program Pembelajaran Profesional (PLC) – Inovasi Bahan dan Pedagogi telah berjaya menghimpunkan seramai 30 orang guru inovatif seluruh Labuan dan Sabah termasuk 4 SISC+ dari Labuan dan 1 SISC+ dari PPD, Tenom, Sabah.

            Pengarah Pendidikan WP Labuan turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada SK Lubok Temiang yang telah merintis jalan dengan membudayakan dan mengamalkan gaya pembelajaran profesional dalam komuniti yang pertama di Labuan dan menjadi contoh kepada sekolah lain. Teks ucapan beliau telah disampaikan oleh Hasbollah bin Amit, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan.

            Hadir dalam majlis yang sama adalah guru besar SK Lubok Temiang, Haji Adam bin Abdul Rahim dan Mohd Dzulfaizal bin Abd Manan, YDP (PIBG). Dalam program yang sama, hampir 500 orang pengunjung yang hadir terdiri daripada guru-guru sekolah-sekolah rendah di WP Labuan, ibu bapa dan murid SKLT sendiri.

            Pada majlis itu, Mohd Asyraf bin Abd Hamid telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon LIGuM2019 Edisi 1, SKLT. Mohd Asyraf bakal graduan dari IPG Kampus Keningau adalah juga merupakan bekas murid SKLT dan penduduk tetap Kampung Batu Manikar. Pemilihan Mohd Asyraf sangat bertepatan apabila baru-baru ini beliau telah dianugerahkan Penerima “Young South East Asia Leaders” oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur serta Pemenang anugerah The Honourable Mention in Bali Asia International Model United Nations di Bali, Indonesia apabila beliau terpilih antara 16 belia terbaik dunia.

            Menurut penyelaras program, Hasnan bin Md Saad, LIGuM2019 akan dijadikan sebagai acara tahunan SKLT pada bulan April setiap tahun dan akan mengetengahkan pelbagai tema serta medium berlainan. Haji Adam, guru besar SKLT sangat yakin bahawa LIGuM akan menjadi acara berprestij satu hari nanti serta berupaya mengangkat SKLT di mata masyarakat setempat. Perasmian LIGuM turut dihadiri oleh ketua-ketua sektor, pegawai-pegawai jabatan, guru-guru besar dan wakil media.

Loading

image_pdfimage_print