Pelancaran Gerakan Massa : Terima Kasih Cikgu

Encik Raisin Saidin memotong Kek Terima Kasih Cikgu sambil diperhatikan oleh Pegawai JPWPL, Pengetua, Guru Besar, PIBG dan PIBK.

Labuan 22 April : Majlis Pelancaran Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan sempena Sambutan Hari Guru 2019 telah diadakan di pentas terbuka Dataran Anggerik, Ujana Kewangan pada Jumaat lepas yang telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin.

16 Mei disambut bagi tujuan mengenang jasa bakti dan pengorbanan para guru dalam mencurahkan ilmu dan kesungguhan memberi tunjuk ajar mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara.

Program Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu ini merupakan pra pelancaran kepada sambutan Hari Guru 2019 dan sambutan tahun ini cukup bermakna kerana ia juga diusahakan bersama persatuan ibu bapa dan komuniti (PIBK). Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah milik semua dan tanggungjawab semua.

Semasa ucapan perasmian, Encik Raisin Saidin berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan padu yang diberikan oleh semua warga pendidik, termasuk PIBK terhadap usaha dan inisiatif dalam memartabatkan pendidikan negara.

Guru memikul satu tanggungjawab yang besar dalam memupuk perpaduan serta mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara melalui sistem pendidikan. Encik Raisin Saidin

Konvoi Terima Kasih Cikgu dengan menggunakan motorsikal berkuasa tinggi oleh PIBK Labuan

Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan.

Dalam konteks ini, pelbagai anugerah dan penghargaan dalam perkhidmatan telah dirangka oleh pihak Kementerian untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan termasuklah mempromosi kejayaan guru di dalam dan di luar negara.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk memajukan pendidikan di Malaysia melalui pembudayaan amalan pendidikan yang berteraskan kegembiraan, kasih sayang dan saling hormat-menghormati dalam membangunkan sahsiah ke arah kemenjadian murid.

“Program Ziarah Cakna misalnya cukup bermakna kerana ia memperkukuh hubungan antara sekolah dengan ibu bapa melalui amalan ziarah guru ke rumah murid untuk bertanya khabar ibu bapa mahupun penjaga” Encik Raisin Saidin.

Program Ziarah Cakna Perluas Konsep Sekolah Penyayang

Gabungan Jabatan, Sekolah, PIBG, PIBK dan Tadika Swasta dalam menjayakan Gerakan Massa, Terima Kasih Cikgu 2019

Loading

image_pdfimage_print