STPM 2016 : 31 calon dapat PNGK 3.00 ke atas

28 Februari – Seramai 31 calon mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2016.

Majlis pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2016 telah diumumkan oleh Puan Norismah Hj Ab Moin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik wakil rasmi Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Encik Raisin bin Saidin.

Pada tahun 2016 seramai 123 calon sekolah kerajaan telah menduduki peperiksaan ini di Wilayah Persekutuan Labuan. Prestasi Wilayah Persekutuan Labuan bagi lulus penuh ialah 99.19%, manakala pencapaian Gred Purata Negri ialah 2.54 meningkat sebanyak 0.13 berbanding tahun sebelumnya.

Mariel Gabriel Moinjil dan Nurisfarini binti Sulong telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM 2016 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan dengan mendapat PNGK 3.92. Antara pelajar lain yang mendapat keputusan cemerlang,  Danial Firdaus bin Derin (PNGK 3.84), Juhriana binti Jamal (3.67), Mashnizah binti Romiu (3.67), Siti Faizah Halwa binti Wardi(3.67), Nur Syafiqa binti Ismail (3.58) dan Ellie Zawanie binti Dollah (3.50).

Puan Norismah berkata, “Alhamdulillah pada tahun ini keputusan STPM 2016 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan meningkat dari segi Gred Purata Negeri dan jumlah calon cemerlang berbanding tahun sebelumnya. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar, ibu bapa, pengetua dan guru-guru yang terlibat mendidik mereka hingga berjaya dengan cemerlang. Semoga kejayaan mereka akan menjadi pendorong kepada mruid-murid lain untuk mencipta kecemerlangan yang lebih hebat di masa akan datang”.

“Saya yakin kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada usaha dan perancangan yang rapi ibu bapa, pelajar, guru-guru, pentadbir sekolah, komuniti dan juga pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Sesungguhnya permuafakatan dan kerjasama semua pihak turut menyumbang kepada kecemerlangan ini”.

Sementara itu, Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah juga mengucapkan syukur STPM 2016 telah menunjukkan peningkatan bagi bagi gred purata dan jumlah calon cemerlang. Beliau juga mengucapkan  tahniah kepada semua pelajar SMK Labuan yang berjaya memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

Katanya, kejayaan itu sudah tentu adalah hasil usaha gigih pelajar yang dibantu guru-guru serta dorongan ibu bapa. “Saya ucapkan tahniah kepada pelajar cemerlang yang mengharumkan nama SMK Labuan. Terima kasih juga kepada guru-guru yang mendidik pelajar terbabit,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Encik Raisin bin Saidin hari ini berkata :

“Pertamanya saya ingin memanjatkan kesyukuran setingginya ke hadrat Allah S.W.T di atas peningkatan prestasi STPM 2016 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan. Saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Ketua Sektor Pengurusan Akademik yang menjadi sektor peneraju peningkatan prestasi akademik. Demikian juga kepada sektor-sektor  lain yang bertanggungjawab dari segi pengurusan guru yang diterajui oleh Sektor Pengurusan Sekolah bagi memastikan kecukupan guru, Sektor Jaminan Kualiti dari aspek kepimpinan guru dan pentadbir sekolah”.

“Selain itu, Sektor Pengurusan Pembangunan dan Kemanusiaan bagi  pengurusan perkembangan murid, Sektor Pengurusan Maklumat yang memainkan peranan dalam mengurus data-data yang lengkap,  Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan dari aspek pengurusan perkhidmatan dan pembangunan sekolah, Sektor Psikologi dan Kaunseling dari aspek kerohanian serta KPP BTPN yang mengurus teknologi pendidikan sekolah juga mempunyai peranan dalam peningkatan prestasi ini”.

“Saya amat yakin bahawa prestasi anak-anak murid kita dalam STPM akan terus meningkat dari semasa ke semasa dan marilah kita sama-sama menggembleng segala usaha dan tenaga dalam satu pasukan yang kuat bagi melonjakkan prestasi STPM bagi tahun 2017. Syabas dan tahniah”.

“Kepada Sektor Penilaian dan Peperiksaan, saya juga mengambil kesempatan merakamkan ucapan syabas dan tahniah di atas pengendalian peperiksaan STPM, pelaksanaan MUET sehinggalah kepada pengumuman keputusan kelmarin yang telah diurus dengan begitu sempurna. Saya berharap agar kewujudan Sektor Penilaian dan Peperiksaan mulai tahun 2017 di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan ini, akan terus memacu kecemerlangan pengurusan peperiksaan awam di Wilayah Persekutuan Labuan. Syabas dan tahniah Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan dan warganya. Terima Kasih”.

 

image_pdfimage_print

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.