KPPM : Inovasi Bantu Memudahkan Pembelajaran Murid

Tanda sokongan Datuk Dr Amin Senin kepada Inovasi yang diilhamkan oleh para guru sambil diperhatikan oleh En Raisin Saidin, Cikgu Dg Sarifah dan guru-guru SK Sungai Bedaun

Labuan, 27 Apr – ” Inovasi adalah salah satu cara pendekatan yang dapat membantu memudahkan pembelajaran dan perkembangan murid “, demikian ucapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin bin Senin semasa merasmikan Karnival ‘Mai Tah Bainovasi’ WP Labuan Peringkat Kebangsaan 2019 yang berlangsung di ruang legar Ujana Kewangan, Labuan hari ini.

Beliau berkata, guru harus menggunakan cara dan pendekatan berbeza termasuk mencipta inovasi dalam mentansformasikan pendidikan dengan menitikberatkan pembelajaran berorientasikan perkembangan murid, bukan setakat menghabiskan sukatan mata pelajaran semata-mata.

Pendekatan sistem pendidikan sekarang agak berbeza berbanding sebelumnya kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menekankan aspek pembinaan watak dan sahsiah murid.

Justeru katanya, guru perlu beralih daripada memfokuskan kecemerlangan keputusan peperiksaan kepada pembelajaran berasaskan perkembangan murid.

Pada tahun ini penyertaan dalam Pertandingan Inovasi Guru (TIC) meningkat, iaitu 115 inovasi berbanding penyertaan 73 inovasi pada tahun 2018.

Pertandingan Inovasi Guru melibatkan peserta dari negeri Sabah, Sarawak, Perak, Selangor, Terengganu, Johor, WP Kuala Lumpur dan WP Labuan sendiri, di mana inovator terdiri daripada guru-guru dan pensyarah-pensyarah IPG, Matrikulasi mahupun Universiti.

Peserta dari Sarawak sedang memberi penerangan ciptaan inovasi mereka kepada Datuk Dr. Amin Senin

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Encik Raisin Saidin dalam ucapan aluan berkata karnival ini mampu menjadi medan percambahan ilmu, membina karakter pendidik untuk sentiasa hidup mendidik dengan seronok melalui inovasi dan kreativiti.

Encik Raisin Saidin juga sentiasa mengingatkan semua guru agar memastikan roh guru sentiasa mendarah daging dalam setiap diri guru, yang matlamat akhirnya ialah kemenjadian anak-anak murid Labuan.

Karnival Mai Tah Bainovasi @ Labuan ini mengandungi tiga aktiviti utama iaitu Jom KICK (Kongsi Inovasi, Cerita Kreativiti), Pertandingan Inovasi Guru (TIC- Teachers Innovation Competition) dan Santai Seni BuNT (Bunyi, Nyanyi dan Tari).

Datuk Dr. Amin Senin juga berkesempatan menyampaikan hadiah kepada Ikon Guru, Guru Inovatif dan Guru Adiwira PAK21 sempena sambutan Hari Guru Tahun 2019.

Cikgu Rahman bin Jaafar dari SK Pekan Dua telah dinobatkan sebagai Ikon Guru Sukan, Cikgu Jasmini binti Daud , guru SMK Rancha-Rancha dipilih sebagai Ikon Guru Seni, Manakala Ustaz Abdul Kahar, guru SK Pantai memenangi kategori Ikon Guru Kokurikulum.

Anugerah Kategori Guru Inovatif pula dianugerahkan kepada guru SK Pekan Dua, Cikgu Jesste Valentine Stidi (Kategori Sekolah Rendah), Cikgu Mohd Azlan bin Mohd Rani, guru SMK Labuan (Kategori sekolah Menengah ) dan kategori kumpulan telah dimenangi oleh SMK Taman Perumahan Bedaun yang terdiri dari Cikgu Juraidah Aman, Cikgu Ahmad Fitry Ismail dan Cikgu Gabriel Chin Vui Wen.

Anugerah Guru Inovatif Berkumpulan 2019 : SMK Taman Perumahan Bedaun
Datuk Dr Amin Senin menyampaikan sijil kepada salah seorang Guru Adiwira PAK21, Cikgu Yahya dari SM Sains Labuan

Pada sebelah petang berlangsung majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang telah disempurnakan sendiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan WP Labuan, Encik Raisin Saidin.

Dalam ucapan penutupan, beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada para inovator kerana sudi berkolaboratif dengan Jabatan Pendidikan WP Labuan untuk menyemarakkan daya kreativiti seterusnya membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dalam bilik darjah kepada murid-murid.

Encik Raisin Saidin menyarankan agar program ini dapat diperluaskan kepada murid-murid. Ini akan menggalakkan pula murid-murid menghasilkan inovasi seterusnya mengongsikan inovasi mereka dengan murid-murid lain. Hal ini akan menjadi pemangkin kepada kemenjadian murid secara menyeluruh.

Inovasi yang telah memenangi Pingat Emas dan Anugerah Platinum ialah Project Introduction Supporting Materials (PRISM) : Transforming Students Perceptions Towards Learning Chemistry, Ketinting SuKa, Islamic Maths Game, Rotactor Gold, Celik Abjad dan Mobile Wudhu.

Karnival ini diterajui oleh Sektor Jaminan Kualiti, yang diketuai oleh Ketua Sektor, Puan Khaziyati Osman.

Encik Raisin Saidin menyampaikan piala kepada pemenang Anugerah Emas dan Platinum
Encik Raisin Saidin menyampaikan piala kepada pemenang Anugerah Emas dan Platinum
Gambar kenangan Datuk Dr Amin Senin, Encik Raisin Saidin, Encik Mohd Idris bersama Ketua-ketua Sektor Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan

Loading

image_pdfimage_print