Labuan,30 April – Bagi merealisasikan Program Amalan Guru Penyayang, SKK SK Rancha-Rancha telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Lahir sebanyak dua kali setahun. Sambutan fasa 1 bagi murid yang lahir pada bulan Januari hingga Jun dan fasa 2 bagi murid yang lahir pada bulan Julai hingga Disember.
Bagi sambutan fasa 1 yang diadakan pada 30 April 2019 yang lalu, seramai 193 orang murid dari kelas Prasekolah, Tahun 1 hingga Tahun 6 dan murid-murid Pendidikan Khas telah diraikan.
Majlis ini telah dirancang dan dikelolakan oleh Jawatankuasa Program Khas Kanak-kanak di bawah Unit HEM diketuai oleh Encik Shawal bin Abd Rahman, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM). Murid juga telah diberikan hadiah yang telah disampaikan oleh Puan Midah binti Yusop (Penolong Kanan Pentadbiran) sambil diiringi dengan nyanyian Lagu Selamat Hari Jadi oleh rakan-rakan yang lain.
Pihak sekolah telah menerima sebanyak 90 biji kek harijadi yang disumbangkan oleh ibu bapa dan guru SKK SKRR. Guru besar, Puan Norinnie binti Kassim mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang dan berharap program sebegini dapat mengeratkan hubungan sesama murid, ibu bapa dan guru.
Walaupun majlis tersebut dibuat secara ringkas, tetapi kesannya amat bermakna kepada murid terutama kepada mereka yang diraikan. Perasaan disayangi dan dihargai serta rasa kesyukuran dapat dipupuk melalui majlis ini. Tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan murid-murid ini tidak pernah diraikan hari lahir mereka. Oleh itu, pengalaman ini amat bermakna buat mereka.