Jasamu Dikenang : Terima Kasih Cikgu Omar, Terima Kasih Cikgu Sahar

Cikgu Sahar (kiri) menerima sijil penghargaan daripada YDP MPSM. Cikgu Omar Baki (3 kanan) menerima cenderahati daripada YDP MGB

Labuan : Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Labuan telah mengadakan Majlis Jamuan bagi meraikan persaraan 2 orang Pengetua iaitu Cikgu Omar Baki Matusin (SMK Rancha-Rancha) dan Cikgu Sahar Misron (SMK Pantai), baru-baru ini di salah sebuah hotel di Labuan.

Cikgu Omar Baki memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik bermula dengan menjadi guru sandaran di SMK Kuala Penyu pada tahun 1987.

Setelah menerima Diploma Pendidikan UKM, beliau telah ditugaskan di Pulau Labuan iaitu di Sekolah Berasrama Penuh Labuan pada tahun 1990 dan berkhidmat selama 5 tahun.

Beliau kemudiannya berpindah ke Sabah pada tahun 1995, di SMK Majakir, Papar dan memegang jawatan sebagai Penyelia Petang serta Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Pada tahun 2000, beliau berpatah balik semula ke Pulau Labuan, dinaikkan pangkat sebagai Pengetua yang pertama, di SMK Taman Perumahan Bedaun.

Perjalanan karier beliau terus berkembang sehingga dilantik sebagai Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan WP Labuan pada tahun 2001 sehingga 2013.

Seterusnya, pada tahun 2013, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Pengetua dan juga merupakan pengetua yang pertama, di SMK Rancha-Rancha sehinggalah beliau bersara wajib pada tahun ini di usia 60 tahun.

Cikgu Omar Baki mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Ekonomi.

Anak kelahiran Menumbok sabah ini, berkahwin dengan Puan Norismah Ab Moin (mantan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan WP Labuan ) dan dikurniakan 3 orang cahaya mata.

Cikgu Omar Baki menerima Sijil Penghargaan daripada Encik Raisin Saidin
Cikgu Omar Baki dan Isteri bersama Cikgu Sawal

Pengetua SMK Pantai IB World School, Cikgu Sahar Misron bersara wajib 60 tahun pada 3 Mei lalu selepas menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama 38 tahun.

Beliau mula bertugas di Wilayah Persekutuan Labuan sejak tahun 2003 hingga 2019.

Cikgu Sahar memulakan kerjaya sebagai guru di SJKC Kemayan, Pahang pada tahun 1981 hingga 1983, kemudian berpindah tugas di SJKC Maran, Pahang tahun 1984 dan SJKC Chung Ching, Kuantan, Pahang pada tahun 1985 sehingga 1987.

Seterusnya beliau ditawarkan berkhidmat di Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia di Pesiaran Duta, Kuala Lumpur tahun 1987 sehingga tahun 2000.

Beliau kembali bertugas di sekolah setelah memperoleh Sijil Kelayakan Kepengetuaan Kebangsaan pada tahun 2001.

Beliau bertugas di SMK Yaacob Latiff, Jalan Peel, Kuala Lumpur pada tahun 2000 sebagai Ketua Bidang Kemanusiaan untuk tempoh lima bulan, sebelum dilantk menjadi ‘caretaker’ sekolah baharu di Sekolah Menengah Setapak Indah pada tahun 2001-2003.

Penghujung tahun 2003, Cikgu Sahar berhijrah ke Pulau Labuan dan menjadi guru Geografi dan Bahasa Melayu di SMK Pantai.

Setelah itu karier beliau diteruskan dengan menjawat sebagai sebagai Ketua Unit Perkhidmatan dan Ketua Sektor Perkhidmatan Pelajaran di Jabatan Pelajaran WP Labuan pada tahun 2005 sehingga tahun 2006.

Beliau menjadi pengetua SMK Lajau yang ketiga selepas Haji Mohammad Abu Bakar dan Abidin Marjan pada tahun 2006.

Bertukar ke Sekolah Sukan Negeri SMK Mutiara tahun 2011 sehingga tahun 2012, sebelum kembali bertugas menerajui SMK Lajau mulai 16 Januari 2012.

Selepas itu beliau bertugas di SMK Pantai sebagai Pengetua Cemerlang mulai 16 April 2012 sehinggalah bersara wajib pada 2 Mei 2019.

Sepanjang 16 tahun berkhidmat di Labuan, Cikgu Sahar aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Warga Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada jasa dan pengorbanan Cikgu Omar Baki Matusin dan Cikgu Sahar Misron dalam dunia pendidikan. Selamat Bersara dan Terima Kasih Cikgu.

Gambar kenangan Cikgu Sahar dan Cikgu Omar bersama warga Pendidikan Labuan

Loading

image_pdfimage_print