SEMARAK KASIH RAMADHAN, KAMI SAYANG KAMU, Mengimarahkan Program Ihya’ Ramadhan SK Sungai Bedaun

Mohd Aizam sedang memperdengarkan bacaan Al-Quran semasa Majlis Khatam Al-Quran.

Labuan – Seramai 692 murid Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) mengimarahkan Majlis Semarak Kasih Ramadhan sempena Penutupan Program Ihya’ Ramadhan 2019 yang diadakan di Dewan Permata sekolah tersebut pada 21 Mei lalu.

Majlis Semarak Kasih Ramadhan merupakan kemuncak kepada Program Ihya’ Ramadhan yang merupakan acara tahunan di SKSB. Program ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekolah berkenaan.

Majlis penutupan program itu telah disempurnakan oleh Puan Dg. Sarifah Binti A. Mahmod, Guru Besar SKSB.

Turut hadir dalam majlis tersebut Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (5P) Daerah, Cawangan Labuan yang diketuai oleh Datin Hjh Dayang Pungut binti Abdul Jalil, Datuk Hj Abdul Rahman Bin Hj Lamudin sebagai Naib Pengerusi  serta   20 ahli persatuan tersebut. Tuan Haji Wan Abdul Rahim Bin Wan Abd  Rahman, Puan Hajah Haryani Binti Isli daripada Labuan Society , Puan Wiwik Iswandari Binti Sudirman, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSB dan ibu bapa penerima bantuan Semarak Kasih Ramadhan.

Menurut Puan Dg. Sarifah Binti A.Mahmod Guru Besar SKSB, Program Ihya’ Ramadhan merupakan antara program besar dalam takwim sekolah yang bertujuan untuk menjana dan menyelaras program pembangunan modal insan di sekolah.

“Pihak sekolah sentiasa menguar-uarkan aktiviti dan program di sekolah sama ada melalui media sosial seperti “facebook”, ‘group Whats App’ mahupun surat. Tujuannya ialah supaya masyarakat khususnya ibu bapa maklum dan ambil peduli aktiviti di sekolah serta peka terhadap kehadiran anak-anak setiap hari. Semoga semangat Ramadhan kali ini dapat meningkatkan keutuhan sahsiah anak-anak SKSB dan kerjasama antara sekolah dengan ibu bapa dapat ditingkatkan”. Katanya semasa berucap dalam majlis tersebut. 

Pelancaran Program Ihya’ Ramadhan dan Tabung Infaq Ramadhan 2019 telah disempurnakan oleh Puan Dg. Sarifah (lapan dari kanan). Ustaz Sahrom Samlan (lima dari kiri), Puan Wiwik Iswandari (tujuh dari kanan) dan barisan guru pendidikan Islam.
Puan Dg.Sarifah (dua dari kanan) memasukkan sumbangan dalam tabung infaq Ramadhan sambil diperhatikan oleh Rina Farrina (kiri), Wiwik Iswandari (dua dari kiri) dan Kamariah (kanan) semasa pelancaran Tabung Infaq Ramadhan.

Puan Dg. Sarifah turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh pelbagai pihak untuk anak-anak SKSB pada tahun ini.

Dalam majlis tersebut seramai 8 orang anak yatim SKSB menerima sumbangan hamper dan duit raya daripada Persatuan 5P terdiri daripada bekas guru dan guru besar yang pernah berkhidmat di Labuan. Sumbangan tersebut merupakan program tahunan persatuan 5P dengan slogan “Kami Sayang Kamu”.

Menurut Datin Hjh Dayang Pungut, warga 5P sentiasa peka terhadap keperluan dan turut merasai  kesedihan anak-anak yang kehilangan orang tersayang menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma. Semoga sumbangan ini dapat menceriakan anak-anak tersebut.

Sementara itu, seramai 20 orang menerima sumbangan hamper makanan asas  daripada Labuan Society di bawah pimpinan pengerusinya Tuan Hj Wan Abdul Rahim dan Setiausaha Kehormat Hajah Haryani Binti Isli.

Sumbangan turut disampaikan kepada 75 asnaf dan anak yatim di sekolah ini berupa makanan asas yang disumbangkan oleh ibu bapa prihatin, guru-guru, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK), SKSB.

Anak-anak yatim gembira menerima sumbangan berupa hamper dan ‘duit raya’ yang disampaikan oleh persatuan 5P cawangan Labuan

Penyerahan Sumbangan Cermin Mata di bawah Program “Mataku Harapanku” , Yayasan Wilayah turut di adakan. Seramai 8 orang murid dan 4 orang pekerja swasta di SKSB menerima sumbangan tersebut. Program “Mataku Harapanku” menawarkan pemeriksaan mata secara percuma dan pemberian 3,000 cermin mata secara percuma untuk fasa pertama ini. Sasaran program ini adalah para pelajar yang berpendapatan rendah serta warga emas di wilayah ini.

Majlis Khatam Al-Quran warga SKSB turut di adakan dalam majlis tersebut yang diketuai oleh Ustaz Mohd Rozman Bin Umar sebagai khalifah khatam. Ia disertai seramai  35 murid, 35 guru dan seorang anggota kumpulan pelaksana (AKP). Kumpulan ini menjalankan tadarus semasa rehat dan waktu senggang mereka.  

Persembahan nasyid  daripada murid-murid dan guru-guru telah menceriakan  suasana majlis tersebut. Murid-murid begitu teruja melihat guru-guru memainkan alat muzik dan melihat persembahan hebat guru mereka yang diketuai oleh Dg.Sarifah.

Sementara itu, Pelbagai aktiviti berjaya dilaksanakan sepanjang Program Ihya’ Ramadhan. Ceramah Ahlan Ya Ramadhan telah disampaikan oleh Ustaz Shahrom Bin Samlan, Penolong Pengarah Bahagian Adab dan Dakwah, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) membuka tirai menyambut ketibaan Ramadhan.

Sebahagian daripada penerima bantuan makanan asas daripada Labuan Society yang telah disampaikan oleh Tn Hj Abdul Rahim (berdiri di tengah).

Puan Dg. Sarifah dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang sama-sama menjayakan program Ihya’ Ramadhan.

”Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini masih diberi kesempatan untuk bertadarus bersama-sama murid dan guru, menyertai majlis Tahlil, Iftar Jamaie, solat berjemaah  dan turut serta dalam khatam Al Quran peringkat sekolah sebagai penutup program Ihya Ramadhan tahun ini.

Tahniah kepada semua warga sekolah terutamanya kepada peneraju utama iaitu  Panitia Pendidikan Islam kerana telah berjaya melaksanakan program ini dengan jayanya.” katanya lagi.

Semoga program ini dapat diteruskan di masa hadapan. Atas segala sumbangan yang dihulurkan, semoga ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga berkenaan dalam mengharungi bulan Ramadhan yang barokah dan menyambut ketibaan Aidilfitri nanti.

Semoga sumbangan kita akan menjadi asbab pahala kita digandakan di bulan yang penuh keberkatan ini.

Berita Oleh : SK Sungai Bedaun

Kegembiraan terpancar di wajah guru-guru seusai majlis Semarak Kasih Ramadhan dan Khatam Al Quran

Loading

image_pdfimage_print