Program Motivasi Ibu Bapa dan Murid Tahun 6 ‘Ibu Bapa Hebat, Murid Cemerlang’ SKK Rancha Rancha

Labuan, Sabtu – Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (Sekolah Kluster Kecemerlangan) mengadakan Program Motivasi Ibu Bapa dan Murid Tahun 6 ‘Ibu Bapa Hebat, Murid Cemerlang’ pada 20 Julai 2019 bertempat di Dewan Kuliah, Universiti Malaysia Sabah. Program ini disertai seramai 42 orang murid calon UPSR bersama ibu bapa masing-masing dan guru -guru SK Rancha-Rancha, Wilayah Persekutuan Labuan.

Penceramah jemputan program motivasi ini ialah Encik Hendri bin Hamsah yang merupakan perunding latihan yang sangat berpengalaman dalam bidang ceramah dan motivasi. Beliau mempunyai kemahiran dalam penyampaian yang mendekati para peserta program secara santai tetapi penuh dengan tuntutan rohani.

Program ini merupakan kesinambungan program tahunan yang telah dirancang bagi mengukuhkan keyakinan diri, memberi kesedaran dan memantapkan persediaan mental dan fizikal murid-murid sebelum menghadapi UPSR pada September 2019. Selain itu, objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada semua ibu bapa dalam menangani masalah dan isu yang berkaitan dengan anak mereka di saat-saat akhir sebelum bermulanya UPSR.

Guru Besar SK Rancha-Rancha, Norinnie binti Kassim dalam ucapannya berharap agar program ini dapat memberi impak kepada semua ibu bapa dan murid yang menyertai program ini. Beliau juga berharap melalui perkongsian ilmu dan pengalaman penceramah akan dapat membantu para ibu bapa dan penjaga serta murid-murid Tahun 6 dalam membina kesediaan mental, emosi dan fizikal untuk menempuh peperiksaan UPSR yang bakal tiba.

Norinnie mengucapkan terima kasih di atas kehadiran ibu bapa dalam menyertai Program Motivasi Ibu Bapa dan Murid Tahun 6 ‘Ibu Bapa Hebat, Murid Cemerlang’. Beliau juga berharap peserta program dapat memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi atau dipelajari sepanjang tempoh program ini dijalankan. Kejayaan program ini bergantung kepada komitmen ibu bapa, murid-murid dan guru-guru. Oleh itu diharapkan program ini dapat membina empayar kejayaan bagi semua yang terlibat.

Loading

image_pdfimage_print